Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 27, 2014

MAYAT TERAKHIR KELUARGA ENAM BERANAK DIKENAL PASTI


mh17

Kuala Lumpur - Mayat terakhir anggota keluarga enam beranak yang terkorban dalam insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas telah dikenal pasti. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mayat Muhammad Afruz Tambi, 13, dikenal pasti semalam namun belum mendapat kelulusan pihak berkuasa di Amsterdam untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Remaja itu merupakan anak lelaki Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee, yang terbunuh bersama keempat-empat anak mereka dalam tragedi berkenaan.

"Jenazah lima anggota keluarga itu telah dibawa pulang ke Malaysia," kata Liow kepada pemberita selepas melancarkan Hari Maritim Sedunia 2014 di sini semalam.

Beliau berkata, dua lagi rakyat Malaysia yang menaiki pesawat jenis Boeing 777-200 itu, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang ketika terhempas dan memgorbankan 298 penumpang serta anak kapal, masih tidak dapat dikesan. 

Mereka ialah Siti Amirah Parawira dan Shaliza Zaini Dewa.

Antara yang terbunuh ialah 43 rakyat Malaysia, termasuk 15 anak kapal dan daripada jumlah itu, jenazah 36 mangsa sudah dikenal pasti serta dibawa pulang ke tanah air setakat ini.

Tiong Lai berkata, penyiasat dari Malaysia dan negara lain belum berjaya memasuki lokasi nahas yang terletak di rantau bergolak kerana kerajaan Ukraine tidak boleh menjamin satu koridor yang selamat untuk mereka.

Beliau berkata, pasukan penyiasat perlu memasuki lokasi nahas sebelum musim sejuk bagi mengelak kesulitan untuk mendapatkan semula bangkai pesawat serta mayat atau cebisan mayat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakan sejawat beliau di Ukraine iaitu Arseniy Yatsenyuk telah memaklumkan bahawa Kiev tidak boleh memberi jaminan itu memandangkan laluan terbabit tidak selamat.

Tiong Lai berkata, fokus utama Malaysia kini ialah mendapatkan kembali mayat atau cebisan mayat serta bangkai pesawat dan menjalankan siasatan bagi mencari kebenaran demi keadilan berhubung tragedi itu, yang mengejutkan dunia.

0 comments:

share2