Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 24, 2014

MALAYSIA PASARAN MEDIA SOSIAL PALING AKTIF

Media sosial


KUALA LUMPUR - Hubungan Internet yang berterusan dan media digital telah menjadikan Malaysia antara satu daripada pasaran paling aktif terlibat dalam media sosial di dunia, demikian menurut hasil kaji selidik daripada TNS, syarikat penyelidikan pasaran dan maklumat global. 

Hasil daripada kaji selidik daripada TNS' Connected Life yang dikeluarkan hari ini menyatakan bahawa lebih tiga perlima atau 62 peratus daripada pengguna Internet di Malaysia mengakses rangkaian media sosial setiap hari berbanding 42 peratus seluruh dunia. 

Sebanyak 52 peratus pengguna Internet di Malaysia menggunakan khidmat pesanan ringkas setiap hari, 35 peratus mencapai telefon mudah alih mereka sebelum bangun dari katil dan 34 peratus mengguna telefon mereka di katil sebelum tidur. 

Penggunaan telefon menyumbang kepada 4.5 jam masa liburan pengguna Internet Malaysia yang menghabiskan masa dalam talian setiap hari, kata TNS. 

Walaupun hampir tiga perlima mengakui memperuntukkan banyak masa mereka di media sosial, TNS mendapati e-mel masih merupakan saluran penting dengan lebih 58 peratus menghantar e-mel peribadi setiap hari.

Meskipun sentiasa berhubung menerusi media digital, TNS berkata pengguna Internet Malaysia masih menggunakan media tradisional.

"Mereka menonton televisyen kurang daripada sejam 20 minit setiap hari, terutamanya pada waktu petang apabila satu perempat daripada pengguna Internet menonton televisyen," kata agensi itu. 

TNS' Connected Life merupakan kaji selidik global bagi sikap dan tingkah laku digital lebih 55,000 pengguna Internet di 50 negara. 

Ia mengkaji bagaimana teknologi mengubah kehidupan pengguna di seluruh dunia dan menawarkan pandangan penting tentang kesan daripada ekosistem digital yang sedang meningkat di landskap media.




0 comments:

share2