KUALA LIPIS - Perlaksanaan projek pembalakan di Kampung Kenong yang kononnya ia akan dilakukan mengikut prosedur yang betul tidak akan menjamin keselamatan penduduk di kawasan tersebut.
Rata-rata penduduk di sini berasa bimbang sekiranya ia diteruskan dan sekaligus mengakibatkan kesan buruk dalam jangka masa panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Kenong, Abdul Rahman Bilal Endil mendakwa, sekiranya ia dijalankan akan membuatkan punca air kesihatan (air bukit) ke kampung mereka tersumbat, menjadi keruh dan menjejaskan kesihatan.
Menurutnya, penduduk bergantung kepada air kesihatan melalui tandak yang dibuat Kementerian Kesihatan sejak tahun 1992 untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan seharian.
“Air bukit merupakan satu-satunya punca bekalan air bersih ke kampung ini selain turut disalurkan ke rumah penduduk, sekolah, masjid dan surau.
Abdul Rahman berkata, kampung berkenaan tidak mempunyai kemudahan jalan raya dan penduduk terpaksa menaiki bot melalui Sungai Kenong atau menggunakan pacuan empat roda melalui jalan ladang untuk menjalankan urusan harian.
Dakwanya, andai aktiviti pembalakan dilakukan akan menjejaskan tanah milik penduduk ekoran lori muatan berat keluar masuk untuk mengangkut hasil balak.
“Penduduk membantah aktiviti penerokaan hutan di kawasan tersebut kerana khuatir dengan kesan dan risiko bencana alam yang bakal dihadapi penduduk seperti banjir lumpur dan pencemaran sungai.
“Ini kerana kegiatan pembalakan itu bukan sahaja berhampiran Sungai Kenong malah berdekatan dengan Taman Rimba Kenong yang menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk menghayati keindahan alam semulajadi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment