JERANTUT - Terbang dengan pesawat dalam jarak beribu kilometer (km) semata-mata untuk mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan, dekat sini berbaloi apabila seramai 22 penuntut sebuah kolej perniagaan dari Doha, Qatar nyata teruja melihat keindahan alam sekitar termasuk flora dan fauna di pusat pelancongan antarabangsa itu.
Pelawat berkenaan terdiri daripada penuntut Kolej Al-Smo, di Doha, Qatar terpegun apabila menghayati keindahan hutan tropika yang berusia lebih 130 juta berbanding negara mereka yang dipenuhi padang pasir dan oasis.
Rombongan yang menginap di Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) selama empat hari tiga malam itu turut dibawa meneroka Gua Telinga, mendaki Bukit Teresek, menaiki Canopy Walkway, mengunjungi Orang Asli Batek di
Dedari dan menongkah lima jeram Sungai Tembeling yang penuh cabaran.
Ketua rombongan Kolej Al-Smo, Sahih El Melloull, 45, berkata, mereka memperoleh maklumat daripada seorang rakan yang pernah mengunjungi Taman Negara dan mengesyorkan supaya penuntut berkenaan memilih destinasi di negeri ini.
“Menerusi laman sesawang dan jurnal pelancongan antarabangsa, kami memperoleh maklumat jelas seperti diceritakan oleh rakan yang pernah ke sini sekali gus tertarik untuk mengunjungi taman ini,” katanya di sini, kelmarin.
Menurutnya, kunjungan ke Taman Negara Kuala Tahan menempa senario dan pengalaman baharu dalam kalangan penuntut yang berhasrat menceburi keusahawanan sektor pelancongan berasaskan alam sekitar termasuk hospitaliti.
Sementara itu, Pengurus MTNR, Nathan Vaithi berkata, penuntut dari Qatar itu merupakan sebahagian pengunjung dari negara Asia Barat dan Timur Tengah yang memfokuskan destinasi ke taman itu setiap tahun.
“Kehadiran ramai pelancong dari Qatar dan negara Arab lain merupakan hasil usaha Persatuan Hotel Pahang dan pengusaha pelancong mengadakan siri kempen melawat ke negara ini di beberapa bandar raya di sana,” katanya.
Menurutnya, galakan itu juga menerusi maklumat di laman sesawang MTNR serta usaha dibuat Pejabat Pelancongan Pahang yang kerap mengadakan promosi di negara berkenaan.
0 comments:
Post a Comment