Butterworth - Tiga pekerja sebuah syarikat swasta yang sedang menjalankan kerja mengukur tanah di Jalan Todak, di sini terkejut bila terserempak dengan rangka dipercayai bayi dalam beg plastik hijau dalam semak hari ini.
Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 20-an, berkata beliau dan dua rakannya mengukur tanah di kawasan itu bagi tujuan membuat laluan jalan.
"Ketika itu pukul 11 pagi dan saya nampak beg plastik berkenaan dan tergerak hati untuk melihat apa yang ada di dalamnya.
"Selepas membukanya saya dapati rangka termasuk tengkorak kecil, mungkin bayi.
"Kami terus menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Setakat ini polis belum dapat sahkan sama ada rangka itu milik manusia atau sebaliknya. Kami telah hantar (rangka itu) ke Hospital Seberang Jaya untuk dianalisis," katanya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

0 comments:
Post a Comment