Semua perhatian tertumpu kepada perkembangan yang berlaku dalam PAS. Pendedahan tentang PASMA yang dipresidenkan oleh Husam Musa, bekas orang kepercayaan Nik Aziz, menambahkan lagi rencah menarik dalam parti tersebut.
Cerita tentang PAS seolah-olah menjadi penyelamat kepada DAP dan Lim Guan Eng yang teruk diserang berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela di Pulau Pinang. Malah turut menyelamatkan PKR yang gagal mempertahankan atau menjawab sebarang hujah tentang amalan kronisme dan nepotisme Anwar Ibrahim. Jauh lebih besar lagi, menyelamatkan seketika isu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia yang menyaksikan DAP menerusi Lim Kit Siang dan Dyana Sofya menjadi sebahagian daripada tenaga penggeraknya.
Walau apa pun yang berlaku di kalangan Majlis Syura Ulama PAS, agak menarik ialah melihat usaha-usaha terdesak PAS untuk membersihkan parti itu daripada para penyokong Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng yang lebih dikenali sebagai Anwarinas atau Parasit. Kebocoran pelbagai maklumat termasuklah printscreen perbincangan dalam grup WhatsApp melibatkan AJK PAS Pusat, selain keputusan sebelah pihak dalam mesyuarat AJK PAS Pusat pada 17 Ogos lalu, telah membuktikan kewujudan golongan yang tegar kepada Anwar Ibrahim, menjadikan PAS hanyalah sebuah parti berstatus selipar jamban kepada DAP dan PKR.
Justeru tindakan pantas tetapi efektif, perlu dilakukan. Pertama, untuk menunjukkan bahawa PAS bukanlah sebuah parti selipar sebagaimana tanggapan umum. Kedua, untuk membuktikan Presiden dan Majlis Syura Ulama PAS benar-benar Dewan Supreme yang tidak terikat dengan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng. Ketiga, untuk meyakinkan para penyokong PAS sendiri bahawa parti itu masih merupakan komponen terpenting dalam Pakatan Rakyat yang menjadi tempat bergantung DAP dan PKR.
Mungkin bukan ketegasan yang berbentuk provokasi dapat kita lihat dalam perkembangan terbaru PAS. Namun ciri-ciri retoriknya tetap tidak boleh dipisahkan.
Kenyataan Presiden PAS tentang Raja Berperlembagaan, Konsensus, Konvensyen Pakatan serta respons daripada Naib Presiden PAS yang bertegas bahawa DAP dan PKR tidak boleh mencampuri sewenang-wenangnya urusan dalaman PAS, sebenarnya lebih kepada mengembalikan keyakinan akar umbi PAS yang mula mempersoalkan keberkesanan Dewan Ulama dan Dewan Syura PAS yang kelihatan telah diatasi oleh golongan Anwarinas yang kebanyakan daripada mereka berada dalam kepimpinan AJK PAS Pusat.
Namun melihat kepada sikap melatah yang kerapkali ditunjukkan oleh PAS, ramai yang memperolok-olokkan ‘perubahan’ PAS kali ini. Ramai yang tidak yakin, Abdul Hadi Awang dan Mustafa Ali berjaya mengekalkan momentum ketegasan ini. Ramai juga yang tidak yakin dengan ketegasan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan calon PAS di PRK DUN Pangkalan Kubur. Malah lebih ramai yang langsung tidak yakin, PAS akan berani melangkah keluar meninggalkan Anwar Ibrahim dan menjauhi DAP.
Memang benar PAS telah serik dengan Barisan Nasional. PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional yang disertainya pada tahun 1969 setelah operasi mereka mengumpul pengaruh dan cuba mengatasi UMNO, berjaya didedahkan.
PAS disingkirkan dari Barisan Nasional pada tahun 1977.
Kerana serik itulah yang membuatkan PAS amat mencermati hubungan dan keberadaan mereka di dalam Pakatan Rakyat. PAS sudah serik untuk disingkirkan, tetapi pada masa yang sama, PAS juga sudah serik untuk dikatakan sebagai pengkhianat. Justeru, PAS perlu mengambil jalan tengah atau jalan yang lebih selamat untuk memastikan semua kepentingan PAS terjaga tanpa menjejaskan sokongan serta keyakinan ahli-ahli sendiri kepada PAS.
Justeru perubahan yang ditunjukkan seperti sekarang, tidak akan bertahan lama. PAS akan kembali bersikap seperti kelazimannya. PAS akan kembali memperhambakan diri demi kepentingan PKR dan DAP atas nama Tahaluf Siyasi.
Ketegasan PAS sudah lama luntur semenjak PAS terkena guna-guna Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng. Tegas, keras, Wahabi dan ekstremis PAS hanya terhadap UMNO dan Barisan Nasional sahaja!

0 comments:
Post a Comment