Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 24, 2014

BAJET 2015 SEDANG DIPERHALUSI - DS HUSNI


Bajet 2015 sedang diperhalusi sebelum dibentangkan - Husni



KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang memperhalusi Bajet 2015 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober depan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, terdapat beberapa aspek yang sedang dikaji sama ada ia perlu dimasukkan ke dalam Bajet itu atau sebaliknya.

Menurut beliau, Bajet 2015 akan memberi tumpuan kepada tiga aspek penting iaitu pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup dan kedudukan fiskal negara.

Beliau berkata walaupun ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu, tetapi Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan tahun depan dijangka lebih baik daripada tahun ini.

Bagaimanapun, kata Husni, beberapa rantau akan menghadapi masalah, antaranya eropah, kerana terdapat beberapa negara di rantau itu yang masih menghadapi krisis ekonomi.

“Dalam konteks negara kita, apa pun yang terjadi, kita perlu kukuhkan pertumbuhan ekonomi kita.

“Tahun ini untuk separuh masa pertama kita catatkan 6.3 peratus.

“Kalau kita lihat dari segi sejarah pertumbuhan ekonomi kita, yang separuh masa pertama yang kita capai adalah yang terbaik kerana biasanya separuh masa pertama ia rendah, baru ia naik.

“Kali ni, separuh masa pertama pun dah tinggi, bermakna transformasi, inisiatif transformasi yang dijalankan oleh kerajaan membuahkan hasil,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak di Kampung Gajah, Perak pada Ahad.

Husni berkata, walaupun pada asalnya unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini hanya sekitar lima dan lima perpuluhan lima peratus, tetapi ia dijangka mencapai angka lima perpuluhan lima dan enam peratus.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan berusaha untuk mempertahankan unjuran yang sama tahun depan dengan memastikan setiap sektor mencatatkan pertumbuhan positif, perbelanjaan kerajaan dilaksanakan dengan baik dan perbelanjaan rakyat dikekalkan.





0 comments:

share2