Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 2, 2014

TUDUHAN ISRAEL HANYA PROPAGANDA


Chandra Muzaffar

Shah Alam – Tuduhan Israel bahawa Malaysia menjadi tempat latihan pejuang Hamas hanya bermotifkan propaganda berikutan pendirian tegas Malaysia dalam menyokong pejuang Palestin.

Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just), Dr Chandra Muzaffar berkata, sikap Malaysia yang sentiasa lantang menentang penaklukan Israel terhadap Palestin berbanding negara Arab yang tunduk kepada kuasa Barat tidak begitu disenangi Israel.

Katanya, Israel sememangnya tidak suka mana-mana negara menyatakan sokongan terhadap Palestin, apatah lagi apabila mengetahui hubungan baik Malaysia dengan pemimpin Hamas dan Fatah.

“Sejak dahulu lagi, pendirian Malaysia begitu konkrit. Kita tidak iktiraf Israel dan kita menentang penaklukan negara itu ke atas Palestin.

“Tambah pula dengan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza dan bertemu dengan pemimpin Hamas yang juga Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh (pada Januari 2013).

“Atas sokongan konsisten Malaysia itu, Israel melihat perjuangan membebaskan Palestin semakin lama semakin kuat dan turut mendapat sokongan di pentas global termasuk kesatuan negara Eropah,” katanya.

Justeru, katanya, Israel merasa lebih tercabar kerana dalam situasi ini, mereka gagal menguasai pandangan dunia yang rata-ratanya menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Malah Kesatuan Eropah turut menyuarakan sokongan (kepada Palestin) dan menentang kekejaman Israel,” katanya.

Berikutan itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan, dakwaan akhbar Israel, The Jerusalem Post sebagai cubaan mengalih perhatian.

“Kita sedia maklum dengan sikap Israel sendiri, dari semasa ke semasa reka cerita tentang terowong digunakan pejuang Hamas, remaja yang dibunuh dan pelbagai lagi.
“Perkara ini sememangnya tabiat kepimpinan Israel yang gemar membuat tuduhan tanpa bukti,” katanya.


Mahu cemar nama Malaysia

Dalam soal itu, Chandra berkata, matlamat Israel dengan sengaja mengaitkan Malaysia dengan pejuang Hamas adalah untuk mencemarkan nama baik negara ini.

“Mereka mempunyai niat jahat dengan memberi gambaran kepada dunia luar bahawa selain menyokong pejuang Palestin, Malaysia dikatakan melatih pengganas untuk memburukkan nama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, selain Malaysia, negara Islam lain khususnya negara Arab mengambil sikap berdiam diri dan tunduk kepada kuasa besar.

“Dalam kalangan negara Islam, seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Oman, adakah mereka juga lantang menentang Israel?

“Adakah mereka juga menggembleng tenaga rakyat mereka membantu? Tidak sama sekali. Sebahagian mereka membisu kerana tunduk kepada Israel,” katanya.

Menurutnya, negara Islam yang membisu ini hanyalah boneka dan menjadi orang suruhan kuasa besar.

“Bagi Israel, pejuang Hamas adalah pengganas, begitu juga dengan Amerika Syarikat. Namun bagi kita mereka pejuang kedaulatan dan kemerdekaan negara Palestin," katanya yang tidak menolak propaganda itu sebagai cubaan memberi tekanan terhadap Malaysia.

0 comments:

share2