Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 2, 2014

KUANTAN - KONTRAKTOR DAKWA DICULIK PEROMPAK

Kuantan - Seorang kontraktor berdepan detik cemas apabila diculik sekumpulan perompak yang turut melarikan keretanya dekat sini, kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Ong, 43 berkata, ketika kejadian dia sedang menuju ke kereta sebelum ditahan sekumpulan lelaki yang bertindak merentap tangan dan menutup matanya.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas malah perompak itu juga bertindak ganas menumbuk muka dan badannya.

“Saya diarah supaya diam dan tidak melawan atau dibelasah lebih teruk jika kehendak mereka tidak dituruti.

“Tangan saya diikat dan mata pula ditutup menggunakan pita pelekat menyebabkan saya langsung tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Ong berkata, dia dibawa masuk ke dalam keretanya dan dibawa ke satu tempat yang agak jauh.

“Perompak itu juga berjanji tidak akan mengapa-apakan saya jika memberi kerjasama dengan mereka.

“Mereka berkata nyawa saya akan selamat jika turuti kehendak mereka yang hanya mahukan wang tunai.

“Dalam perjalanan itu mereka berhenti di satu tempat dan menukar kereta lain untuk menyambung perjalanan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya ditinggalkan di satu tempat dan dikehendaki mengira nombor satu hingga seratus jika mahu membuka ikatan mata.

“Setelah mengambil wang saya mereka tinggalkan saya begitu sahaja. Namun dompet, telefon dan kad kredit diserahkan semula kepada saya.

“Ketika saya membuka ikatan di mata, saya dapati sudah berada di Kajang. Dengan bantuan orang awam, saya dihantar ke hospital seterusnya menaiki bas untuk balik ke Kuantan semula,” katanya.

Sementara itu, isterinya Wan Leng, 43, membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan selepas menyedari mangsa tidak pulang pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi pemberita mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengesan kereta mangsa yang dilaporkan hilang.

“Berdasarkan keterangan mangsa, berkemungkinan kereta tersebut masih berada di sekitar daerah ini.

“Polis akan ambil keterangan mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.

0 comments:

share2