Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 1, 2014

KENYATAAN NAJIB ISU TRAGEDI MH17


MH17

The Hague - Berikut ialah kenyataan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada taklimat akhbar bersama dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17:

"Seperti Netherlands, Malaysia kini berkabung. Kita berkabung atas kehilangan kesemua 298 jiwa dalam pesawat MH17.

"Dan ketika kita menyaksikan kumpulan mayat pertama tiba di Eindhoven, perasaan kita meruntun untuk rakyat Netherlands, yang menanggung kehilangan besar.

"Bendera yang berkibar separuh tiang menceritakan kisah tersendiri: tentang negara-negara yang kehilangan anak-anak bangsa. Dan kita bertekad untuk bekerja sama bagi membawa pulang semua mayat ke tanah air masing-masing. 

"Malaysia bangkit bersama Netherlands, bersama Australia; bersama semua negara yang kehilangan rakyat masing-masing. Kita tegak bersama, bersatu dalam kesedihan, dan sedia membantu dengan apa jua cara. 

"Terdahulu, Perdana Menteri Rutte dan saya bercakap mengenai aktiviti ketenteraan yang berterusan di kawasan nahas; ketidakupayaan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan itu; dan mayat manusia yang mungkin masih terdampar di sana.

"Demi keluarga mangsa, adalah penting semua mayat dibawa keluar dengan secepat mungkin dari kawasan nahas itu.

"Setiap mangsa harus diberi pengebumian yang penuh bermaruah dan sewajarnya," kata beliau.

Menurutnya, keutamaan Malaysia dan Netherlands ialah untuk memastikan para penyiasat antarabangsa diberi akses penuh ke kawasan nahas supaya mereka boleh mengumpul bukti dan melakukan kerja-kerja penting.

"Dengan itu, semua negara terbabit dalam penyiasatan itu dapat merungkai apa sebenarnya yang berlaku kepada MH17; dan hanya dengan itu kita akan mencapai keadilan bagi mangsa dan keluarga mereka", kata Perdana Menteri Malaysia itu. 

"Konflik di Ukraine timur mungkin tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Tetapi orang-orang dalam pesawat berkenaan tidak ada kena mengena dengannya.

"Kita menggesa agar dihentikan segera pertempuran di dalam dan sekitar kawasan nahas pesawat - oleh kedua-dua pihak, tentera Ukraine dan puak pemisah. - Bernama

"Kita meminta semua pihak agar menghormati mangsa yang terkorban dan kewibawaan kawasan nahas itu bagi membolehkan penyiasatan dimulakan.

"Perjalanan jauh menuju keamanan bermula dengan langkah ini," kata Najib.

"Sepasukan 68 polis Malaysia tiba di Kiev hari ini. Mereka akan bekerjasama dengan pasukan Belanda dan Australia bagi mendapatkan akses ke lokasi berkenaan. 

"Malaysia menyokong penuh penyiasatan antarabangsa, dan kita berterima kasih kepada Netherlands kerana peranan utamanya dalam pasukan antarabangsa. 

"Mengeluarkan mayat mangsa secepat mungkin adalah prioriti bersama. Pakar-pakar Malaysia sudahpun membantu di sini, di Netherlands dengan tugas sukar melakukan identifikasi dan kita sedia menghulurkan lebih banyak bantuan jika diperlukan. 

"Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Rutte dan rakyat Belanda atas segala apa yang telah mereka lakukan, dan terus lakukan, untuk mangsa tindakan yang tidak bertimbang rasa dan tragik ini.

0 comments:

share2