Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 23, 2014

ISU MB: SULTAN SELANGOR MAHU LEBIH DARI SATU CALON - SUMBER


Isu MB: Sultan Selangor mahu lebih dari satu calon - Sumber

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kembali ke tanah air pada Sabtu selepas memendekkan percutian luar negara baginda difahamkan akan meminta lebih dari satu nama calon untuk 'dinaikkan' menjadi Menteri Besar Selangor.

Ia disifatkan memberi peluang kepada Sultan sendiri untuk memilih dan membandingkan beberapa calon terbaik untuk mentadbir Selangor.

Menurut sumber dalaman PKR, isu perlantikan Menteri Besar Selangor juga disifatkan akan selesai selewat-lewatnya minggu hadapan.

"Sultan akan pulang hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menghadap esok (Ahad) atau selewat-lewatnya lusa (Isnin).

"Baginda akan meminta beberapa nama lagi sebagai calon menteri besar dan PKR perlu menyenaraikan nama alternatif yang diperlukan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Ujarnya, semua persiapan dokumen di pihak Istana Selangor difahamkan sudah disiapkan untuk proses angkat sumpah menteri besar yang dijangka berlangsung pada minggu hadapan.

"Cuma tunggu nama yang akan dipilih Sultan dan krisis ini akan selesai dengan rakyat Selangor mendapat seorang menteri besar baharu.

"Kemungkinan untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) juga dilihat tipis kerana difahamkan pihak istana tidak mahu krisis ini berpanjangan," jelas sumber itu.

Pada Jumaat, kaji selidik Merdeka Center mendapati pengundi di Selangor cenderung mengekalkan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) sekiranya PRN diadakan sebagai penyelesaian kepada krisis menteri besar negeri itu.

Kaji selidik itu juga mendapati pengundi di Selangor cenderung untuk memilih Wan Azizah menjadi menteri besar berbanding Timbalan Presiden, Azmin Ali atau calon daripada PAS atau UMNO.

Sebelum ini, Wan Azizah turut dipilih sebagai calon pilihan Pakatan Rakyat bagi jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Keputusan tersebut dicapai meskipun PAS turut mencadangkan nama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali untuk jawatan tersebut.

0 comments:

share2