Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 1, 2014

ISRAEL MULA SASAR MALAYSIA?


Hubungan baik Malaysia dengan kerajaan Hamas, seperti dibuktikan melalui pertemuan Najib dengan Ismail (kanan) di Gaza dilihat menimbulkan rasa tidak senang Israel.

Shah Alam - Pendirian tegas Malaysia dalam menyokong pejuang Palestin untuk mendapatkan semula hak mereka yang dirampas negara haram Israel nampaknya semakin membuatkan rejim Zionis itu tidak senang duduk.

Terbaharu, The Jerusalem Post, iaitu media Israel yang digunakan untuk menghebahkan propaganda kerajaan Zionis semalam mendakwa seorang tentera Hamas dari unit Al-Qassam bersama sembilan anggota lain menjalani latihan di Malaysia pada 2012 tentang cara melakukan serangan merentasi sempadan menggunakan payung terjun.

Pendedahan tersebut kononnya dibuat oleh seorang komander Hamas kepada agensi keselamatan Israel, Shin Bet dalam siri soal siasat selepas beliau ditahan di Khan Yunis, Gaza pada 21 Julai lalu.

Anggota Hamas itu didakwa mendedahkan bahawa beliau menerima latihan dalam serangan menggunakan payung terjun serta cara menculik askar sebagai sebahagian daripada persediaan untuk menentang serangan darat tentera Israel di Gaza.

"Suspek menyertai Hamas pada 2007 dan menjadi sebahagian daripada unit tentera Hamas, Al-Qassam.

"Beliau menjadi cekap dalam penggunaan senapang automatik Kalashnikov dalam pelbagai posisi menembak," menurut The Jerusalem Post.

Namun, laporan itu tidak menyebut pihak di Malaysia yang didakwa menyediakan latihan itu kepada anggota Hamas tersebut.

Sementara itu, laporan Astro Awani semalam menyebut, Hamas menafikan tuduhan Shin Bet itu.

Menurut pemimpin kanan Hamas, Dr Khaled Qadoumi, rejim Zionis mengolah propaganda itu untuk menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.

“Israel sedang mengalami kekalahan moral yang teruk dalam operasi ketenteraannya kali ini di Gaza dan mereka cuba menjejaskan sokongan sebuah negara Islam yang proaktif dan kuat terhadap warga Palestin,” kata Khaled seperti dilaporkan Astro Awani.

Hamas juga menyifatkan Malaysia menjadi sasaran penipuan Tel Aviv kerana peranan luar biasa kerajaan dan rakyat negara ini dalam memperjuangkan Palestin di pentas global.

“Israel adalah penipu besar. Kenapa tuduh Malaysia? Kerana Malaysia sebuah negara Islam yang bebas serta berani sentiasa berada di sisi rakyat Palestin di Gaza yang terus sengsara,” tegas Dr Khaled yang turut menyeru semua pihak di Malaysia tidak terpengaruh dengan penipuan dan permainan propaganda Israel.

Sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza menjadi perhatian dunia terutamanya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan rasmi ke wilayah tertindas itu dan bertemu dengan pemimpin Hamas yang juga Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh pada Januari 2013.

Lawatan Najib itu mendapat perhatian luar biasa dan liputan meluas media terutama di Amerika Syarikat kerana beliau merupakan pemimpin dari luar negara Arab yang pertama melawat Gaza.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menganggap lawatan itu sebagai langkah berani dan bersejarah oleh Najib.

"Malaysia sentiasa menerajui sokongan terhadap isu Palestin melalui pertubuhan badan bukan kerajaan (di negara ini). Kami menggesa semua kerajaan yang adil untuk menuruti langkah Malaysia," menurut PCOM semasa mengulas lawatan itu.

0 comments:

share2