Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 5, 2014

CHEGU BARD HILANG AKAL?



Oleh Nur Azlina Shaari

Badrul Hisham Shaharin atau lebih sinonim dengan gelaran Chegubard dalam parti PKR nampak gayanya begitu dahagakan perhatian dari ahli-ahli partinya dan juga pihak lain. Ini kerana, Chegubard tidak henti-henti mencipta satu situasi sama ada mengenai dirinya dan PKR agar sentiasa diberi perhatian.

Seperti yang ramai tahu atau kurang mengambil tahu mengenai Chegubard, beliau dahulunya menjadikan kerjaya guru sebagai landasan utama dalam mencapai cita-citanya sekitar tahun 2000. Tetapi sayangnya, Chegubard sendiri menyalahguna kebolehan sebagai pendidik kerana gemar memberikan ceramah tanpa kebenaran mengenai politik termasuklah memburukkan pihak kerajaan.

Dan pada tahun 2008, Chegubard mengambil pendekatan dengan bertanding di parlimen Rembau dalam PRU12 tetapi tewas kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang seterusnya hanya melayakkan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan PKR sahaja iaitu Ketua PKR Cabang Rembau.

Sejak dari itu, Chegubard banyak terlibat dalam acara demonstrasi yang dirancang dan diatur oleh PKR termasuklah dalam perhimpunan Bersih, perhimpunan bantahan Felda, dan pelbagai lagi memandangkan Chegubard sendiri adalah ahli Gerakan Demokrasi dan Anti- Korupsi (GERAK). Jadi, tidak mustahil ‘hobi’ Chegubard yang gemar berdemonstrasi teserlah.

Malah, Chegubard juga yang dipuja sebagai aktivis sosial yang bagus turut menubuhkan sebuah gerakan muda yang diberi nama Solidariti Anak Muda Malaysia dan mula bergerak sejak 2004 lagi. Namun, penubuhan SAMM ini tidak dilihat dengan jelas matlamatnya dan sering tersasar dari landasan perjuangan dengan penglibatan dalam banyak isu. Di mana sahaja ada bantahan terhadap kerajaan, di situlah akan adanya Chegubard dan SAMM.

Dalam proses pemilihan PKR, Chegubard mempunyai agenda tersendiri dan bersuara mendedahkan kepincangan dalam proses tersebut. Kata Chegubard, proses pemilihan parti kesayangannya itu adalah kotor dan tidak telus yang lebih terarah menyerang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Chegubard telah membuat dakwaan terbuka dengan menyatakan “Petugas JPP menjadi agen kepada Azmin Ali” pada 12 Mei lalu dan disiarkan dalam laman “mysuara.net” dan portal Free Malaysia Today. Dalam akhbar Berita Harian pada 21 Mei lalu juga beliau telah membuat kenyataan terbuka mengkritik Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR bertajuk “Keputusan penuh penipuan: Chegubard”.

Nampaknya, usaha Chegubard yang telah menjadi ahli PKR sejak dahulu lagi tidak dipandang oleh PKR sendiri. Disebabkan itulah Chegubard berani mengambil tindakan memburukkan partinya sendiri. Akibatnya, Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggantung keahlian Chegubard serta-merta tanpa ada sebarang bantahan.

Dan semalam, Chegubard muncul pula di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha menggesa SPR mendengar aduannya mengenai proses pemilihan PKR yang tidak telus. Lagak Chegubard ini sememangnya tidak akan berhenti dari menagih perhatian dari keadaan sekelilingnya supaya kelibat dirinya terus dilihat.

Soalnya, apa kena mengena SPR dengan pemilihan PKR? Agaknya kerana sudah banyak kali gagal, otak pun sudsah gagal berfungsi.



0 comments:

share2