Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 27, 2014

TIADA LAGI PENYERI SYAWAL


MH17

Putrajaya – “Syawal ini tidak bermakna buat kami. Pemergian Md Ali amat terasa dan sehingga kini sukar untuk kami lupakannya.

“Setiap kali tibanya hari raya, dialah orang yang paling sibuk mengemas rumah,” demikian luahan Nurzuzila Mat Salim, 35, kakak kepada penumpang nahas MH17, Md Ali Mat Salim.

Menurutnya, raya kali ini cukup berbeza apabila tiada lagi kelibat Md Ali menyerikan sambutan hari lebaran tahun ini.

“Dia amat cerewet dalam menyiapkan rumah ketika menyambut raya. Segala kelengkapan dan perhiasan seperti pasu bunga, hiasan rumah, semuanya disusun sendiri olehnya.

“Bahkan warna baju raya juga ditentukan olehnya selain turut membeli kasut dan seluar raya untuk ahli keluarga sebelum berangkat pulang ke kampung,” katanya selepas majlis pertemuan keluarga mangsa bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di Hotel Marriot, Putrajaya, semalam.

Dalam sesi pertemuan itu, baginda berdua meluangkan masa hampir 45 minit bertemu dengan waris mangsa untuk bertanya khabar serta menyampaikan ucapan takziah.

Kata Nurzuzila, tragedi hitam dalam keluarga itu bukan sahaja meninggalkan kenangan pahit kepada keluarganya, malah pemergian mereka turut dirasai saudara mara dan kenalan rapat Md Ali.

Ujar Nurzuzila, Syawal pada kali ini akan disambut secara sederhana berikutan ketiadaan adik kesayangannya itu.

“Kami masih belum buat persiapan raya kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpa Md Ali.

“Bagaimanapun, kami akan turut sambut hari raya di Muar, Johor tetapi dalam keadaan sederhana,” katanya.

Menurutnya, apabila pulang beraya, Md Ali tidak akan sesekali melepaskan peluang menikmati hidangan air tangan ibunya.

“Md Ali sangat menggemari masakan ibunya yang sentiasa dijamah apabila pulang berhari raya namun kini semua hanya tinggal kenangan. Keletahnya yang bersemangat menghabiskan makanan tersebut juga akan menjadi memori yang kami tidak akan lupakan,” katanya.

Sementara itu, abang ipar Md Ali, Zamazanar Ali 39, berkata, keluarganya sentiasa akan menunggu perkembangan terbaharu termasuk menanti kepulangan jenazah adik iparnya. 

Md Ali, anak ke keempat dari lapan adik beradik mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsycho Patology di Erasmus Universiti Rotterdam, Belanda.

Beliau berada dalam penerbangan MH17 itu, yang terhempas semasa dalam perjalanan pulang berhari raya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di Donetsk, Timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia.

Pesawat Boeing 777 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.

0 comments:

share2