Temerloh – Pengunjung dan peniaga bazar Aidilfitri di Dataran Temerloh malam kelmarin dikejutkan dengan kejadian letupan kecil dan kebakaran kotak suis bekalan elektrik di tapak ekspo tahunan itu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam itu dipercayai berpunca daripada kegagalan kotak utama bekalan elektrik membekalkan tenaga kepada beberapa khemah yang ditempatkan di situ.
Kejadian itu menyebabkan seorang peniaga Shahrin Azmer Sulaiman, 27, yang berada di kedudukan paling hampir dengan kotak suis itu mengalami kerugian akibat kerosakan pada sistem pendawaian dalaman.
Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada kegagalan kontraktor yang dilantik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) untuk membekalkan tenaga elektrik kepada 200 peniaga di tapak bazar Aidilfitri itu.
“Mereka buat kerja tak sempurna, jangan salahkan peniaga membuat sambungan sendiri, sambungan sendiri tidak akan berlaku jika kontraktor menyediakan tenaga elektrik yang cukup bagi setiap tapak niaga.
“Kejadian berlaku kerana lebih separuh daripada tapak niaga itu tidak dibekalkan dengan tenaga elektrik menyebabkan kipas dan lampu tidak berfungsi.
“Ia bukan sehari dua tetapi sejak tiga hari lalu sudah berlaku gangguan pada bekalan tenaga di tapak ekspo ini, kemuncaknya semalam apabila kotak utama ini terbakar dan menyebabkan lebih separuh daripada peniaga di tapak ini kerugian apabila pelanggan tidak datang
kerana kawasan gelap,” katanya.
Sementara itu seorang lagi peniaga, Zakri Zainol 25, berkata, kontraktor yang membekalkan tenaga di tapak ekspo itu perlu bertanggungjawab sepanjang tiga hari kejadian putus bekalan berlaku di situ.
Menurutnya, peniaga yang menanggung rugi dan terpaksa berniaga dalam keadaan cuaca panas dan gelap gelita sejak tiga hari lalu.
“Kami mahu kontraktor terbabit menghantar juruelektrik yang bertugas di kawasan ekspo ini dan sentiasa berjaga-jaga jika berlaku gangguan.
“Ini memudahkan kami untuk meminta bantuan jika berlaku lagi gangguan elektrik seperti sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga Naim Ahmad, 27, menggesa kontraktor terbabit supaya menyediakan bekalan elektrik di semua khemah peniaga supaya tidak berlaku lagi sambungan antara peniaga hingga boleh menyebabkan kebakaran dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment