Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 22, 2014

RUSIA PUJI MALAYSIA AMBIL SIKAP BERKECUALI


Duta Besar Russia, Lyudmila Vorobyeva pada sidang media berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang membawa 295 orang termasuk 15 anak kapal terhempas di Ukraine, Khamis lepas di kediaman rasminya di sini, Isnin. - Foto Bernama

Kuala Lumpur - Kerajaan Rusia hari ini mengucapkan terima kasih dan memuji kerajaan Malaysia kerana bersikap berkecuali sementara menunggu sehingga selesai siasatan berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh.

Duta Rusia di Malaysia Lyudmila Vorobyeva berkata, ketika banyak negara saling menuding jari dan menyalahkan Rusia berikutan insiden berkenaan, Malaysia terus bersikap tidak memihak dan memberi tumpuan kepada keputusan akhir siasatan itu.

"Kami amat menghargai pendirian berkecuali kerajaan Malaysia, tidak menyalahkan sesiapa sebelum sebarang bukti nyata dapat dikemukakan hasil keputusan siasatan antarabangsa.

"Kami sangat menghargai, kami sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di kedutaan itu di sini hari ini.

Penerbangan MH17 MAS sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.

Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Menjelaskan lebih lanjut tentang hubungan antara Rusia dan Malaysia, Vorobyeva berkata insiden tragik itu tidak menjejaskan hubungan itu yang diwujudkan dalam cara yang positif selama bertahun-tahun.

"Banyak bidang, daripada dialog politik sehinggalah perdagangan, mencatatkan peningkatan sebanyak 60 peratus tahun lepas. Di Rusia juga terdapat kira-kira 6,000 pelajar Malaysia.

"Harapan ikhlas kami adalah kita akan kekalkan hubungan dua hala yang positif dan dinamik ini," katanya.

Vorobyeva berkata tidak adil untuk terus menyalahkan Rusia atau puak pemisah yang didakwa disokong Rusia di Ukraine yang menembak jatuh jet berkenaan memandangkan sehingga kini belum ada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan itu.

Beliau berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali disebabkan bukti yang didakwa itu dalam bentuk rakaman audio dan gambar yang disediakan Ukraine adalah palsu dan pita itu mengemukakan kompilasi dalam tempoh berlainan.

"Ia telah dianalisis pakar, ia adalah kompilasi rakaman, ada yang dibuat sebelum nahas... gambar, rakaman, adalah palsu," katanya.

Vorobyeva berkata pemberontak hanya mempunyai sistem pertahanan udara mudah alih, dengan keupayaan sekitar 5 kilometer, dan ia ditawan daripada tentera Ukraine.

"Tentera Ukraine, bagaimanapun, memang ada sistem peluru berpandu yang diatur kedudukannya di wilayah itu, menurut angkatan tentera Rusia. Pemberontak (malah) tidak mempunyai kapal terbang atau jet pejuang.

"Jika anda tanya saya, saya yakin tiada cara untuk mereka melakukannya. Mereka tidak mempunyai sumber untuk melakukannya. Pemberontak tidak mempunyai kemahiran atau kelayakan untuk mengendalikannya (sistem peluru berpandu Buk), tetapi tentera Ukraine memilikinya," katanya.

Bagaimanapun, Vorobyeva menegaskan kerajaan Rusia tidak mahu membuat tuduhan tanpa bukti kukuh.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan Rusia berulang kali menggesa supaya siasatan menyeluruh dilakukan sehingga membawa kepada bukti pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu.

0 comments:

share2