Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 22, 2014

PEMILIHAN WAN AZIZAH SEBAGAI MB SUDAH DIDUGA


Kuala Lumpur: Desas-desus sebelum ini bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan digugurkan daripada menerajui kerajaan negeri, akhirnya terjawab dengan pemilihan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penggantinya. 

Ramai pihak termasuk pemerhati politik sebelum ini sudah pun menduga bahawa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac lalu sememangnya sengaja diadakan dan digunakan sebagai platform untuk menukar Menteri Besar Selangor. 

Penganalisis politik melihat DUN Kajang terpaksa dijadikan korban politik kepada cita-cita individu tertentu demi mendapatkan 'kuasa dan habuan' sehingga meminggirkan amalan demokrasi yang diamalkan negara ini sejak sekian lama. 

Tragedi malang nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas, dipercayai akibat ditembak jatuh, di timur Ukraine pada 17 Julai lalu ternyata tidak dapat 'menangguhkan' isu pertukaran Menteri Besar di Selangor. 

Semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menamakan Dr Wan Azizah yang juga presiden parti sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid yang memegang jawatan itu sejak 2008. 

Keputusan itu diumumkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat parti. 

Penamaan Dr Wan Azizah itu kemudiannya akan dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat untuk diputuskan. 
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata isu pertukaran Menteri Besar sebenarnya berpunca daripada krisis dalaman PKR di Selangor yang kian meruncing. 

"Ini termasuklah krisis perebutan kuasa Menteri Besar yang menjadi idaman individu tertentu dan saya melihat alasan menggugurkan Abdul Khalid kerana gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor hanyalah suatu helah. Saya melihat Abdul Khalid telah mentadbir Selangor dengan agak baik. 

"DAP dan PAS tidak wajar untuk mengikut sama rentak PKR dalam menentukan hala tuju Selangor dan perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan. Dr Wan Azizah cuma ADUN di Selangor dan sebagai Presiden di dalam PKR tetapi bukan ketua cabang mana-mana kawasan pun. Ini adalah alasan yang tidak logik dan tidak boleh diterima," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, pakatan DAP-PAS-PKR memenangi 44 daripada 56 kerusi DUN Selangor berbanding 36 pada 2008 dengan PKR menang 14 kerusi, manakala PAS dan DAP amsing-masing menang 15 kerusi. BN hanya memperoleh 12 kerusi. 

Perkembangan mutakhir ini, kata Che Hamdan jelas menunjukkan hakikat wujudnya amalan nepotisme dan kronisme di dalam PKR. 

"Apabila Dr Wan Azizah yang diumumkan sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, ia seolah-olah menafikan hak PAS dan DAP untuk bersuara dan menentukan siapa yang layak menerajui kerajaan negeri dan ia mengambarkan bahawa seolah-olah jawatan Menteri Besar itu status quo PKR. 

"Perkara ini bukanlah suatu yang baharu kerana ia telah berlaku sejak sekian lama. Tengok sahaja kepada hieraki parti siapa yang teratas dan siapa pula di bawahnya," katanya. 

Dr Wan Azizah sebelum ini dilihat ramai pihak sebagai boneka di dalam PKR kerana peranan mentadbir parti banyak direncanakan sepenuhnya oleh Anwar. 

Pensyarah kanan itu tidak menolak bahawa peranan yang dimainkan oleh ADUN Kajang akan mirip sepertimana beliau mentadbir parti dengan kebanyakan keputusan dan perjalanan parti diuruskan oleh Anwar. 

Mengulas sekiranya pemilihan Dr Wan Azizah memperoleh perkenan istana dan sokongan padu ADUN di negeri itu sekaligus menempa sejarah sebagai Menteri Besar Wanita yang pertama di Selangor dan Malaysia, Che Hamdan berkata daripada segi pembangunan politik ia adalah amat baik dan tidak memilih jantina. 

"Sebelum ini beliau telah mencipta sejarah sebagai presiden parti politik wanita yang pertama di Malaysia," katanya.

0 comments:

share2