Kuching - Pembantu khas seorang ahli Parlimen hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini terhadap dua pertuduhan menyelewengkan dana berjumlah RM19,500, masing-masing pada 2008 dan 2009.
Abah Ugi, 54, pembantu khas Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, dituduh menyelewengkan RM9,500 iaitu wang untuk menaik taraf dan membaiki Rumah Panjang Jeni, sebuah rumah panjang di Pantu, Sri Aman.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Ban Hock, di sini pada 28 Okt 2008.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyelewengkan RM10,000 iaitu wang untuk menaik taraf jalan ke Rumah Panjang Tana, sebuah lagi rumah panjang di Pantu, di sebuah bank di Jalan Bukit Mata di sini pada 15 Mei, 2009.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda.
Hakim Nixon Kennedy Kumbong membenarkan Abah diikat jamin RM10,000 dan menetapkan perbicaraan bermula 27 Ogos ini.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Melaka Nisau.
0 comments:
Post a Comment