Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 23, 2014

LIPIS : PASANGAN BARU KAWIN MAUT NAHAS


Mayat mangsa dibawa menaiki kenderaan polis ke Hospital Lipis untuk bedah siasat


KUALA LIPIS - Hasrat sepasang suami isteri untuk berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian apabila mereka maut kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Kechau Tui di sini kira-kira jam 2.45 petang kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika Mohamed Aliff Datu Salleh, 28, bersama isterinya, Nurul Afiqah Abd Manaf, 26, dalam perjalanan dari Kepong, Kuala Lumpur menuju pulang ke Kelantan dengan menaiki kereta jenis Nissan Almera.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian di Kilometer 28, jalan Kuala Lipis-Merapoh, kenderaan dipandu Mohamed Aliff bertembung dengan sebuah lori 24 tan yang membawa muatan pasir.

“Setelah pelanggaran tersebut, pemandu lori berkenaan bertindak mengundurkan kenderaan lalu terlanggar sebuah lagi lori 2.5 tan membawa muatan durian yang berada di belakang lori 24 tan itu.

“Mohamed Aliff parah di bahagian limpa dan hati manakala Nurul Afiqah mengalami keretakan di bahagian kepala dan mereka disahkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Bomba mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk kenderaan,” katanya.

Abdul Razak berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Menurutnya, kedua-dua pemandu lori berkenaan pula tidak mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian, permukaan jalan sedikit selekoh, bentuk jalan rata, cuaca baik dan terang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan.

Difahamkan, Mohamed Aliff yang bertugas sebagai juruteknik RapidKL dan Nurul Afiqah yang bekerja di bahagian Eksekutif Prasarana Negara Berhad LRT/MRT baru dua bulan mendirikan rumah tangga.




0 comments:

share2