Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 16, 2014

KUANTAN - DADAH, DUA PELAJAR PEREMPUAN ANTARA DITAHAN


Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Abdul Majid (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan pil kuda yang dirampas hasil Ops Cantas Khas Narkotik ketika sidang media di Kuantan, hari ini. - Foto Bernama

Kuantan - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran pil kuda berikutan penahanan lapan lelaki dan dua pelajar perempuan dalam tiga serbuan berasingan, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata dalam Ops Cantas Khas Narkotik itu polis juga merampas 7,971 biji pil kuda yang bernilai RM278,985.

"Dalam serbuan pertama di kawasan Kampung Selamat dekat sini kira-kira 1.30 pagi semalam, kita menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan merampas daripadanya 1,400 biji pil kuda.

"Susulan itu, serbuan di Indera Mahkota 2, kita berjaya menahan tiga lelaki serta seorang wanita 20-an yang merupakan pelajar kolej swasta selain merampas 600 lagi biji pil kuda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis menahan sebuah kereta Suzuki Swiff yang dinaiki tiga lelaki dan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di perkarangan sebuah rumah di Taman Padang Permai Sungai Lembing, pada kira-kira 2.30 pagi.

Katanya hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui 3,971 pil kuda.

"Siasatan awal polis mendapati, kedua-dua pelajar itu merupakan teman wanita suspek lelaki dan ujian saringan awal mendapati kesemua suspek negatif dadah.

"Polis percaya aktiviti pengedaran pil kuda ini aktif sejak tiga bulan lepas dan kesemua dan mereka tidak memiliki sebarang rekod jenayah," katanya.

Kesemua suspek yang berusia 17 hingga 26 tahun itu ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, katanya polis Pahang melancarkan Ops Cantas Khas Narkotik sejak 11 Julai sehingga 27 Julai ini bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.

Jamaluddin berkata setakat semalam, sebanyak 154 orang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah membabitkan nilai melebihi RM400,000 ditahan.

"Di sepanjang tempoh itu juga, polis turut menyita harta pengedar terbabit iaitu lima buah kenderaan, lima buah motosikal bernilai RM169,559 dan wang tunai RM7,559," katanya.

0 comments:

share2