Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 13, 2014

KUALA LIPIS - DAH TAK TERLARAT ANGKUT AIR

Seorang penduduk, Khadijah Mat terpaksa mengambil air dari tong bagi tujuan membasuh pinggan.


KUALA LIPIS - “Pakcik dah tak larat nak mengangkut tong berisi air ini berseorangan ke rumah. Pakcik harap gangguan bekalan air ini pulih dengan segera supaya aktiviti harian kami berjalan seperti biasa.”

Begitulah keluhan Mohd Nor Toyib, 65, yang terpaksa mengangkut air dari kolah Masjid Padang Tengku untuk diisi ke dalam tong air bagi kegunaan di rumahnya di Kampung Batu Nering di sini.

Mohd Nor yang menghidap penyakit jantung dan buah pinggang berkata, dia terpaksa melakukan kerja berat itu memandangkan air berkenaan digunakan untuk memasak dan berwuduk.

“Bekalan air di kawasan ini sering terganggu sejak hampir dua bulan yang lalu, malah menjadi semakin kritikal pada Ramadan ini hingga menjejaskan kehidupan seharian kami semua.

“Bekalan air hanya ada sekejap saja sekitar jam 11 malam hingga 4 pagi. Jadi selepas selesai solat tarawih saya terpaksa bersengkang mata hingga jam 2 pagi semata-mata untuk menadah air. Namun masih tidak mencukupi bagi kegunaan harian memandangkan tekanan air pada waktu tersebut amat rendah,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Nering, Abdul Halim Abdul Rani berkata, masalah tersebut telah lama berlaku dan rayuan sudah dibuat kepada pihak berwajib, namun tiada sebarang tindakan diambil hingga hari ini.

“Air adalah keperluan asas yang cukup penting, namun disebabkan kegagalan pihak berkaitan untuk menyediakan bekalan air, telah menjejaskan kehidupan seharian lebih 300 penduduk di kawasan ini.

“Pihak berkaitan ada datang melihat keadaan di sini dan mereka menyatakan tekanan air rendah. Namun apa yang mengecewakan ialah mereka tidak mengambil jalan alternatif sementara seperti menghantar lori tangki air kepada penduduk di kawasan ini,” katanya.

Abdul Halim berkata, diharapkan agar masalah tersebut dapat diselesaikan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana ramai perantau akan pulang ke kampung dan jika tiada bekalan air maka ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar.





0 comments:

share2