Ampang: Seorang penuntut kolej mendapat pembalasan dan pengajaran apabila disebat lapan kali menggunakan rotan halus di hadapan ahli keluarga dan orang awam di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, tahun lalu.
Ainur Asyriq Aizamuddin, 19, disebat oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd Nor sambil disaksikan ibu bapa remaja itu, wartawan dan orang awam yang berada di galeri awam mahkamah.
Bagaimanapun hukuman sebatan ringan yang dikenakan ke atas tertuduh adalah bagi pertuduhan kedua.
Pada 14 Mei lalu, bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman perintah kehadiran wajib dalam tempoh tiga bulan, setiap hari selama empat jam ke atas tertuduh mengikut Seksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib 1954 dan bon jaminan bercagaran RM6,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, pada prosiding hari ini, tertuduh yang bertubuh kurus kelihatan tenang ketika diperintahkan membongkok di bahagian meja hadapan galeri mahkamah untuk disebat menggunakan rotan sepanjang anggaran satu meter.
Sesekali, tertuduh mengaduh kesakitan ketika disebat.
Terdahulu, mahkamah memerintahkan doktor yang hadir memeriksa tahap kesihatan pesalah muda berkenaan sebelum sebatan dijalankan.
Selepas dia disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap tertuduh.
Pada 13 Disember 2013, tertuduh mengaku salah terhadap dua tuduhan merogol mangsa yang juga teman wanitanya yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan masing-masing pada 29 November 2013 jam 9 pagi dan 7 Disember 2013 jam 4 petang di sebuah rumah, dekat sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
0 comments:
Post a Comment