Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 5, 2014

MUHAMMAD IRFAN DINOBAT OLAHRAGAWAN SUKMA KE-17


ATLET olahraga kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet angkat berat Majlis Sukan Negeri Sarawak, Jenilie Empera masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) ke-17.

Kedua-dua mereka menerima trofi masing-masing daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penutup temasya sukan itu di Stadium Tuanku Syed Putra, di Kangar malam ini.

Muhammad Irfan, 19, yang mewakili Negeri Sembilan, bejaya memecah rekod kebangsaan acara lempar cakera dengan jarak lontaran sejauh 54.26 meter, sekali gus memperbaharui catatan 53.16m yang dilakukannya pada Sukan SEA Myanmar 2013.

Jarak lontaran itu juga turut memperbaharui rekod Sukma 45.89m milik Mohd Hasrolnizam Yaakob pada Sukma Kedah 2006.

"Memang pada mulanya saya sudah sasarkan yang saya boleh menang anugerah Olahragawan tahun ini sebab saya sudah membuat rekod kebangsaan tapi lepas itu saya dapat tahu ada atlet angkat berat pun pecahkan rekod kebangsaan serta rekod kejohanan, saya ingat harapan saya sudah tidak ada.

"Sebab itu saya ambil keputusan untuk balik ke Kuala Lumpur lepas acara habis. Tapi saya memang tidak sangka saya dapat menang anugerah terbesar temasya tahun ini," katanya kepada pemberita, di sini.

Muhammad Irfan, yang kini menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih dari Slovakia, Sero Petrovic, berkata beliau akan ke Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Taiwan, pada Selasa ini.

"Saya harap saya dapat memperbaharui rekod kebangsaan sekarang di kejohanan itu dan menang pingat emas lagi," katanya, yang juga meraih pingat perak acara lontar peluru pada Sukma kali ini.

Sementara itu, Jelinie yang mengambil bahagian dalam acara tidak melebihi 75kg itu, berkata penganugerahan itu memberikan beliau semangat untuk lebih cemerlang dalam sukan angkat berat.

"Saya memang tidak sangka dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma. Bagi saya calon-calon lebih layak terutamanya Grace Wong (atlet lempar cakera) yang memperbaharui rekod 12 tahun Sukma tetapi mungkin rezeki saya kali ini. Kejayaan ini adalah permulaan buat saya untuk lebih cemerlang pada masa akan datang.

"Sebelum ini saya pernah dipanggil menyertai skuad pelapis negara tetapi atas alasan peribadi saya terpaksa menolak. Saya berminat untuk menyertai skuad negara jika dipanggil semula sekali lagi. Kali ini saya lebih bersedia," katanya.

Jelinie memperbaharui dua rekod Sukma bagi kategori melebihi 75kg selepas membuat angkatan 85kg, melebihi rekod 84kg milik Nur Jannah Batrisyah dari Johor pada Sukma Melaka 2010 dalam kategori Snatch dan seterusnya turut memadam rekod milik Nur Jannah, 106kg dalam kategori Clean and Jerk dengan angkatan 107kg.

Sementara itu, ketua kontinjen (CDM) Wilayah Persekutuan, Datuk Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berbangga kontinjen itu berjaya muncul juara keseluruhan dan sekali gus melepasi sasaran 50 pingat emas pada temasya Sukma kali ini.

"Pencapaian di sini akan dijadikan sebagai kayu pengukur untuk persediaan kontinjen ini untuk tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Mohd Amin Nordin berkata pemenang pingat emas kontinjen berkenaan akan menerima imbuhan berjumlah RM5,000 dan setiap rekod kebangsaan atau rekod Sukma, akan menerima tambahan imbuhan sebanyak RM1,000.

Kontinjen Wilayah Persekutuan, yang pertama kali menggabungkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 2006, merangkul 55 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa. - Bernama




0 comments:

share2