Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 5, 2014

MH370: DELEGASI NEGARA KE AUSTRALIA BINCANG


KUALA LUMPUR - Malaysia akan menghantar delegasi ke Canberra, Australia dalam masa terdekat bagi membincangkan maklumat terkini operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, termasuk kos, di lokasi baharu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, delegasi itu akan diketuai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dengan disertai tiga lagi timbalan menteri yang mengetuai jawatankuasa peringkat kementerian masing-masing berkaitan operasi mencari pesawat berkenaan.

"Ia turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian MH370 hari ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mengetuai jawatankuasa berkaitan waris keluarga; Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengetuai jawatankuasa berkaitan teknikal, pembentukan dan lantikan pasukan penyiasat manakala jawatankuasa berkaitan penghantaran aset bagi operasi mencari diketuai Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Hishammuddin berkata delegasi itu akan turut ke Beijing, China bagi mengukuhkan lagi perjanjian tiga pihak antara Malaysia, China dan Australia.

Beliau memaklumkan ketiga-tiga negara dijangka berbincang berkaitan kos operasi di lokasi pencarian lama yang perlu ditanggung bersama-sama.

"Saya boleh mengesahkan tiada kos yang perlu dibiayai oleh kita, tetapi untuk adil kepada pihak yang terlibat termasuk Australia dan China serta negara lain yang nak beri sumbangan selepas ini, kita kena cari jumlah berpatutan dan yang munasabah dibiayai pihak berkenaan," katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi'. - Bernama



0 comments:

share2