KUANTAN - Kira-kira 18 peneroka Felda Panching Selatan mendakwa masalah sisa buangan kilang kuari berhampiran menyebabkan ladang sawit mereka mengalami kerosakan berikutan hakisan sepanjang 2.7 kilometer yang berlaku di kawasan itu.
Masalah yang sudah berlarutan sejak 2011 itu dilihat semakin teruk dan merugikan peneroka yang berdepan masalah kekurangan hasil akibat tanaman rosak.
Malah kilang kuari yang terletak tidak jauh dari ladang terbabit didakwa tidak mengambil kira soal tanaman sawit peneroka apabila kawasan parit yang kecil sudah menjadi seperti sungai di tengah-tengah ladang sawit berkenaan.
Raji Hamid, 60, berkata, kawasan ladangnya seluas empat hektar yang paling dekat dengan kawasan kuari itu akan dilanda banjir pada musim hujan.
Menurutnya, banyak pokok sawitnya tumbang dan rosak malah pertumbuhan terencat disebabkan masalah hakisan dan debu.
“Kalau dulu saya boleh kutip hasil lima hingga lapan tan, kini saya hanya boleh dapat empat atau lima tan sahaja.
“Masalah debu menyebabkan proses pendebungaan tidak dapat dilakukan dan seterusnya merencatkan pertumbuhan buah sawit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Raji berkata, peneroka juga berdepan masalah untuk membaja pokok sawit kerana kawasan tersebut digenangi air menyebabkan laluan menjadi becak.
Sementara itu, Yusof Othman, 73, pula berkata, kira-kira 3.4 kilometer jalan ke ladang tersebut rosak teruk disebabkan lori yang keluar masuk di kawasan kuari tersebut.
Katanya, keadaan ladang peneroka semakin teruk dan mereka berdepan dengan kerugian sejak beberapa tahun lalu.
“Kami pun buntu untuk fikirkan jalan penyelesaian apabila melihat keadaan ladang yang semakin teruk.
“Hakisan dan debu menyebabkan pokok tidak sihat dan merosakkan buah. Secara tak langsung menjejaskan pendapatan peneroka,” katanya.
Yusof berharap pihak bertanggungjawab boleh membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan kerana sudah berlarutan sejak sekian lama.
Sementara itu, Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, beliau pernah membawa masalah itu ke Sidang Dun pada 2011 dan tindakan menghentikan sementara operasi kilang kuari itu sudah dilakukan.
Bagaimanapun, selepas beberapa ketika mereka kembali beroperasi dan pihaknya kembali menerima aduan mengenai masalah itu.
“Arahan henti operasi sementara adalah untuk memastikan mereka mengikuti syarat dan spesifikasi yang ditetapkan supaya ladang peneroka tidak berdepan masalah.
“Namun, kita lihat masalah masih wujud malah semakin teruk. Peneroka mengadu hasil mereka semakin kurang selain masalah hakisan dan debu pula berterusan,” katanya yang turut meninjau situasi tersebut.
Mohd Zaili berkata, beliau juga sudah beberapa kali membawa isu ke mesyuarat tindakan daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga maklum mengenai masalah ini.
“Saya akan cuba memanggil pihak pengurusan kuari dan pejabat daerah untuk duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang dalam masalah ini.
“Saya simpati dengan masalah yang dihadapi peneroka ini kerana mereka menjadi mangsa kepada pihak yang mengaut keuntungan,” katanya.
Mohd Zaili turut mengingatkan peneroka supaya memberi kerjasama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu.
0 comments:
Post a Comment