Kuala Kedah - Kebanyakan pengguna masih menunggang motosikal dengan keadaan berbahaya, selain tidak memakai topi keledar di Batu 6, Jalan Kuala Kedah.
Tinjauan mendapati ada ibu bapa degil mempertaruhkan nyawa apabila masih menggunakan laluan kecemasan di hadapan Masjid Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dekat sini.
Lebih menyedihkan, sikap endah tak endah mereka apabila memberikan alasan hendak cepat apabila tidak melalui pusingan U disediakan.
Penduduk yang hanya ingin dikenal sebagai Ros, 35, berkata, dia kerap kali menggunakan laluan kecemasan untuk menghantar anaknya ke sekolah kerana ingin mengejar masa.
“Sebenarnya, saya malas untuk gunakan pusingan U. Jika saya buat pusingan U, saya mungkin lambat ke tempat kerja.
“Lagipun laluan kecemasan lebih dekat dengan kediaman kami. Jadi lebih baik saya lintas ke seberang menggunakan laluan terbabit sahaja,” katanya.
Oleh itu, katanya, dia tidak perlu bersusah payah menunggu kenderaan lalu lalang sekali gus menjimatkan penggunaan minyak motosikal.
Katanya, sukar untuk menggubah tabiat menggunakan laluan kecemasan berkenaan kerana kebanyakan mereka sudah biasa melaluinya sejak dahulu lagi.
Sementara itu, Hussin, 45, berkata, dia menyedari risiko kecelakaan mungkin menimpa, namun mendakwa sentiasa berhati-hati sewaktu melintas di laluan itu.
“Saya sedar pemandu membawa kenderaan laju di sekitar kawasan ini. Namun, saya tidak terburu-buru melintas, sebaliknya apabila selamat, baharulah saya melintas,” katanya.
Sinar Harian 24 Mei lalu melaporkan keengganan penduduk menggunakan pusingan U, sebaliknya memilih laluan kecemasan yang boleh mengundang kemalangan.
Namun, penduduk tempatan yang peka mengenai situasi berkenaan menggesa pihak berkenaan menutup laluan kecemasan tersebut ataupun memasang palang berkunci.
0 comments:
Post a Comment