Port Dickson – Gara-gara berebut anak, seorang wanita bersama anak perempuannya, berusia 9 tahun trauma apabila dikurung oleh suaminya lebih lapan jam di rumah mereka di sebuah taman perumahan di Chuah, dekat sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa, 32, masih dalam proses penceraian dengan suaminya itu menghubungi Balai Polis Chuah kira-kira jam 4 petang bagi meminta bantuan untuk menyelamatkan mereka.
Pada jam 7.30 pagi, Khamis lalu, suami mangsa balik ke rumah dan memaksa anak perempuannya masuk ke keretanya untuk dibawa balik ke rumah, namun berjaya dihalang oleh mangsa sebelum mengunci semua pintu untuk berlindung serta menghalang suaminya masuk ke dalam rumah.
“Berang dengan kejadian itu, suami mangsa bertindak membeli mangga baharu dan mengunci semua pintu dan tingkap rumah dari luar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambah Abd Wahab, bertindak atas aduan berkenaan, pihak polis bergegas ke rumah mangsa sebelum menghubungi suaminya untuk menyerahkan kunci tersebut tetapi dia enggan berbuat demikian.
“Polis kemudiannya bertindak memotong mangga pintu hadapan rumah mangsa menggunakan peralatan khas dan mangsa bersama anaknya tidak mengalami kecederaan namun masih berada di dalam keadaan ketakutan dan trauma dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Wahab turut menasihatkan mana-mana pasangan yang mengalami krisis rumah tangga supaya tidak melakukan tindakan bercanggah dengan undang-undang, sebaliknya berunding secara aman.
“Orang ramai dan jiran juga perlu bersikap prihatin kepada jiran sekeliling. Jika keadaan menimbulkan bahaya laporkan segera kepada polis untuk tindakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Pasangan ini mempunyai tiga anak kesemuanya perempuan dan suaminya menjaga dua daripada mereka.
0 comments:
Post a Comment