Lima batu besar yang masih kukuh di Kampung Berhala Lima, Peringat, Kota Bharu ini diakui kurang diketahui kewujudannya, namun tiada siapa menyangka lagendanya agak unik untuk dikenang.
‘Salam’ perlu diberikan sebaik sahaja sampai ke tempat lima batu besar yang ada di pinggir Sungai Kemasin (Peringat) sebagai tanda kita hadir ke tempat tinggalan sejarah berkenaan.
Terletak di ceruk kepesatan Bandar Satelit Pasir Tumboh ke Limbat (Gutong), Kampung Berhala Lima menyimpan khazanah batu besar yang didakwa pernah menjadi tempat bersiram Puteri Saadong suatu masa dahulu.
Menurut penduduk, Siti Fatimah Mamat, 76 berkata, nenek moyangnya pernah menceritakan sejarah kampung tersebut bermula apabila pengasuh Puteri Saadong iaitu Awang Selamat memikul batu datang sehingga ke Bukit Marak.
“Sejak beratus tahun dahulu, lima batu kecil yang dipikul Awang Selamat jatuh ke kampung ini, manakala batu-batu besar jatuh di Kampung Bukit Marak, berdekatan kampung ini.
“Sebelum ini, kampung ini dipanggil Kampung Tok Batu, namun setelah lima batu ini dipuja (Kelantan memanggil ‘puja’ sebagai ‘berhala’), lalu nama baru kampung ini menjadi Kampung Berhala Lima,” katanya yang tinggal 100 meter dari tempat lima batu berkenaan.
Lagenda kampung ini bermula apabila pada ketika itu, Puteri Saadong menjadikan lima batu tersebut sebagai tempat persinggahan untuk bersiram dan bermain-main pada waktu kelapangan.
“Dahulu, sesiapa yang akan mengadakan kenduri datang memberikan salam dan menyatakan hasrat meminjam pinggan-mangkuk milik Puteri Saadong, lalu dikatakan Puteri Saadong menghulurkan apa yang diminta penduduk.
“Penduduk ketika itu tidak dapat melihat wajah sebenar Puteri Saadong, sebaliknya hanya boleh melihat separuh tangan yang menghulurkan barangan dipinjam,” katanya.
Bagaimanapun, berlaku perlanggaran perjanjian apabila Puteri Saadong dikatakan merajuk dan membawa diri ke Gunong Ayam (Sempadan Kelantan-Pahang) setelah mendapati barang pinjaman rosak.
“Apa yang menyedihkan Puteri Saadong, barangan seperti pinggan-mangkuk yang dipinjam dihantar tidak cukup dan rosak, malah penduduk tidak memaklumkan masalah itu,” katanya.
Bagi Abdul Kadir Mat, 74, jika ditinjau ke tempat legenda berkenaan, terdapat lima batu besar dengan kawasan sekelilingnya paya kering tanah beralun-alun.
“Lima batu ini dilihat ada yang kecil dan ada yang besar (batu gajah). Satu batu kelihatan seperti jelujur (jalan yang diperbuat daripada batu) kononnya digunakan sebagai hamparan untuk Puteri Saadong pergi ke tempat bersiram.
“Di tempat bersiram pula terdapat perigi kecil dan pada perigi berkenaan terdapat batu seolah-olah menghadang Puteri Saadong ketika mandi,” katanya.
Sementara itu, bagi penduduk asal, Deraman Nor, 70 berkata, suatu masa dahulu, mengikut cerita orang terdahulu, setahun sekali hadir ‘harimau jadian’ yang datang ke tempat batu berkenaan, namun sekarang ia hanya tinggal cerita.
“Tempat ini menjadi kawasan pemujaan bomoh, namun mereka yang berniat tidak baik dikatakan mengalami pengalaman pelik, namun sehingga kini, tiada lagi pemujaan memandangkan lebih 200 keluarga kampung ini adalah Melayu dan beragama Islam,” katanya.
Bagi pesara kakitangan awam, Mat Esa Mohamad, 59, penduduk sudah mengadakan perbincangan mahu pihak berkaitan menukar nama kampung memandangkan maksudnya tidak elok.
“Berhala tidak sesuai kerana ia bermaksud pemujaan, jadi kami setuju pilih nama Kampung Batu Lima sempena lima batu besar yang menjadi tinggalan sejarah. Kami juga mahu pihak tertentu jadikan tempat ini sebagai kawasan rekreasi, sesuai untuk berkelah bersama keluarga kerana ia kawasan kebun buah-buahan dan getah,” katanya.
Menariknya, katanya, ia terletak di tepi sungai yang masih terpelihara dengan ekosistem hidupan dan menjadi tumpuan pemancing, lalu penduduk bersetuju jika kolam mandi dibina sebagai tarikan pelancongan.
0 comments:
Post a Comment