Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 2, 2014

TAK SEMPAT AMBIL BR1M




Jempol - Hasrat seorang penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pedas, pulang ke kampung untuk mengambil wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan, di Jalan Besar Felda Palong 7 & 8, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Muhammad Hanafi Mohammad, 22, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan seekor lembu yang tiba-tiba melintas.

Menurut abang ipar mangsa, Burhan Nul Foad Rizwan Abd Ghani, 32, adik iparnya itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Felda Keratong Satu, Pahang.

“Arwah pulang ke kampung untuk mengambil wang BRIM, hari ini (semalam). Kebiasaannya arwah pulang sendirian sekitar jam 5 petang dan sampai ke kampung kira-kira jam 7 malam.

“Namun, sehingga jam 8 malam, kelibat arwah tidak muncul-muncul sebelum ibu mertua saya bertindak menelefon arwah, tetapi panggilan itu dijawab oleh orang lain dan memaklumkan arwah terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Jempol, semalam.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Keratong Satu, selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superitenden Hamzah Alias berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 secara sendirian datang dari arah Jalan Besar Felda Palong 4, 5 & 6-Felda Palong 7 & 8 menghala ke Jalan Keratong.

“Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mengelak seekor lembu yang tiba-tiba melintas lalu berlaku pertembungan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala. Manakala lembu terbabit juga mati di situ.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

0 comments:

share2