Ipoh - Semua kaum di negara ini menikmati peluang yang sama dalam bidang pendidikan selain mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri atau Pusat, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Oleh itu, katanya tidak timbul isu diskriminasi kaum dalam pemberian bantuan pendidikan oleh kerajaan.
"Hari ini, tiga sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini menerima bantuan sejumlah RM5.1 juta daripada kerajaan Pusat melalui Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak di sini, semalam.
Beliau berkata peruntukan khas itu adalah untuk membantu perkembangan dan pembangunan pendidikan masyarakat India dalam usaha meningkatkan keperluan asas di sekolah berkenaan.
Selain kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Perak juga memberi tanah seluas 800 hektar bagi tujuan pendidikan masyarakat India di Perak.
Terdahulu, Zambry menyerahkan replika cek peruntukan itu kepada SJKT Menglembu, SJKT Kerajaan dan SJKT Gunung Rapat, yang merupakan antara 13 sekolah SJKT di seluruh negara diberi bantuan itu tahun ini.
SJKT Menglembu memperoleh bantuan RM3.5 juta, SJKT Kerajaan RM1.5 juta dan SJKT Gunung Rapat menerima RM150,000 dengan peruntukkan itu disalurkan terus kepada pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) bagi melaksanakan projek pembangunan di sekolah masing-masing.
Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil merupakan usahasama Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyalurkan bantuan berjumlah RM20 juta sebagai peruntukan khas bagi sekolah SJKT kerajaan.
Persidangan Dun bersambung hari ini.
0 comments:
Post a Comment