Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 15, 2014

POLIS NAFI LELAKI MATI KETIKA DALAM TAHANAN



Butterworth - Polis menafikan dakwaan seorang wanita bahawa kematian suaminya di Hospital Seberang Jaya Sabtu lepas adalah disebabkan kecederaan yang dialami ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, laporan bedah siasat Hospital Seberang Jaya mendapati lelaki berusia 37 tahun itu mati akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Beliau berkata lelaki terbabit ditahan pada 31 Mac bagi membantu siasatan berkaitan kes dadah dan dibebas dengan jaminan selepas tujuh hari ditahan reman.

"Ketika dalam tahanan, dia mengalami sawan dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam. Polis telah merujuk kes itu kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dan DPP putuskan untuk membenarkan lelaki itu dijamin oleh isterinya," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, keadaan kesihatan lelaki itu dikatakan bertambah teruk dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan sebelum dilaporkan mati Sabtu lepas.

Terdahulu, dalam satu sidang akhbar, A. Mageswary, 36, mendakwa suaminyamati akibat kecederaan yang dialami ketika dalam tahanan polis berikutan terdapat kesan lebam dan parut pada badan lelaki itu.

Mageswary mendakwa kesan lebam dan calar pada tubuh suaminya itu mendatangkan rasa curiga dan meminta penjelasan terperinci daripada pihak polis berhubung perkara berkenaan.

"Kami sekeluarga, termasuk tiga anak, ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika suami saya ditahan polis dan berharap diberi penjelasan yang sewajarnya," katanya. 

0 comments:

share2