Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 4, 2014

KUANTAN: PADAH ROGOL GADIS OKU BAWAH UMUR




Kuantan – Mahkamah Sesyen, dekat sini, semalam mendapati seorang buruh, Amri Mustaffa, 28, bersalah kerana merogol seorang gadis di bawah umur yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) pada Jun, 2010 lalu.

Hakim, Mohd Nasir Nordin telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula daripada tarikh keputusan dan juga dua sebatan.

Terdahulu, Amri, berasal dari Kampung Badong Dalam, Merchong, Pekan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol pelajar perempuan berumur lingkungan 17 tahun 2 bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan tertuduh merogol seorang gadis tersebut di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Nenasi, Pekan pada 8 Jun 2010, kira-kira jam 1 hingga 2.30 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sebelum ini, berdasarkan fakta kes, tertuduh mengambil kesempatan merogol mangsa selepas mendapati mangsa tinggal seorang diri ketika pergi ke rumahnya pada hari kejadian untuk meminjam peralatan bertukang.

Keadaan mangsa yang tidak boleh bercakap dan mengalami masalah mental tidak mampu melawan perbuatan tertuduh dan kejadian itu hanya disedari oleh adik mangsa yang berusia 12 tahun ketika pulang dari sekolah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman selepas mendapati tertuduh bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin.

0 comments:

share2