Kuantan - Sejumlah 18,357 rakyat di negeri ini yang terjejas dengan kejadian banjir pada awal Disember lalu layak menerima bantuan daripada kerajaan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Menurutnya daripada jumlah itu sebanyak 17,468 telahpun menerima bantuan RM500 dan selebihnya dijangka akan menerimanya tidak lama lagi.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyedari terdapat sebilangan kecil nama mangsa banjir yang layak menerima bantuan itu namun tercicir akibat beberapa faktor termasuk sikap rakyat sendiri.
"Memang terdapat sedikit kekecohan dan kekeliruan dalam soal pengagihan wang bantuan itu dan ia disebabkan beberapa faktor termasuk ada penduduk yang rumahnya dinaiki air tetapi enggan berpindah (menyebabkan nama tidak tersenarai).
"Ada pula jenis rumah mereka tidak dinaiki air tetapi tumpang semangkuk dengan mendaftar di pusat pemindahan banjir dan ini merupakan perbuatan yang tidak jujur," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mohd Zaili Besar (BN-Panching) di persidangan pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini semalam.
Katanya, di Kuantan sendiri masih terdapat 10,140 mangsa yang belum menerima bantuan berkenaan dan dijangka menerimanya pada 28, 29 dan 30 April ini.
Adnan berkata, kerajaan negeri turut menerima aduan mendakwa terdapat mangsa banjir yang menerima bantuan lebih dua kali, namun sukar untuk menyiasatnya kerana jumlah mangsa banjir adalah ramai.
Menyentuh mengenai bantuan sebanyak US$10 juta (RM32.5 juta) daripada kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Adnan berkata ia akan terus disalurkan ke akaun mangsa banjir.
Katanya, segala urusan pengagihan bantuan berupa wang ringgit itu akan diuruskan sendiri kedutaan negara itu dan kerajaan negeri hanya menyenaraikan mangsa banjir dan akaun bank mereka.
0 comments:
Post a Comment