Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 19, 2014

KEMPEN MEMBACA DALAM DUN PAHANG

Kuantan - Dalam usaha menerapkan amalan membaca, Speaker dan 42 anggota Dun Pahang akan meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca semasa sidang Dun dilangsungkan pada 22 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia Dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, ia dilakukan sebagai sokongan kerajaan negeri terhadap kempen 'Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit' anjuran Majlis Pengarah-pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam SeMalaysia yang dilaksanakan serentak seluruh negara.

"Kebetulan sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung pada 22 April ini, jadi untuk kempen membaca di Pahang, ia akan turut melibatkan penyertaan kesemua Adun yang akan dipimpin oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.

"Tepat pada pukul 10 pagi, kami akan hentikan seketika persidangan Dun dan memperuntukkan 10 minit untuk memberi laluan kepada kempen berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Norol Azali berkata, setiap wakil rakyat akan dibekalkan dengan bahan bacaan yang bersesuaian.

Beliau berharap pelaksanan kempen itu bukan sahaja mendapat penglibatan pihak individu, tetapi juga pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pembuat dasar untuk memastikan budaya ini disuburkan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Kempen itu, kata Nozol Azali, merupakan inisiatif baharu yang difikirkan oleh Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia bagi menarik penglibatan lebih menyeluruh rakyat di negara ini terhadap budaya membaca.

Menurutnya konsep yang dilakukan serentak itu merupakan ilham daripada kempen 'Earth Hour' yang dilakukan serentak di seluruh dunia.

"Sehubungan itu juga saya menyeru seluruh masyarakat di negara ini untuk bersama-sama memberi ruang selama 10 minit bagi menjayakan kempen jom membaca bermula 10 pagi pada Selasa secara serentak," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sebuah perpustakaan baharu yang sedang dalam pembinaan di Kemunting di sini dengan kos RM45 juta dijangka siap pada 2016.

0 comments:

share2