Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 17, 2014

DIDAKWA SIMBAH ASID




Kota Bharu - Seorang buruh dihadapkan ke mahkamah Sesyen di sini semalam di atas pertuduhan menyimbah asid kepada dua mangsa berlainan bulan lalu.

Zulhilmi Zahran Shafie, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan juru bahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Yusuff Yunus semalam.

Mengikut pertuduhan, pada 26 Mac 2014, lebih kurang jam 10 malam bertempat di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohd Azimi Azman, 24, dengan menggunakan cecair asid.

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Dia juga berhadapan satu lagi pertuduhan iaitu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama, tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada Yuan Zulashraf Tuan Yaacob.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Negeri Hamizah Ghazali menawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh melalui peguamnya, Latifah Arifin merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana pihaknya sudah bersemuka dengan keluarga dan memohon maaf serta membayar sejumlah wang pampasan kerana mangsa juga merupakan sepupunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Mei untuk sebut semula kes.

0 comments:

share2