Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 14, 2014

MALAYSIA EKSPORT RM1.53B KAYU KE INDIA


KUALA LUMPUR 13 Mac - Malaysia mengeksport RM1.53 bilion kayu dan produk kayu ke India pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding 2012.

Pada tahun lalu juga, kayu dan produk kayu menyumbang seba­nyak RM19.5 bilion kepada pendapatan tukaran asing negara.

Nilai eksport itu sekali gus meletakkan India sebagai pasaran eksport kayu-kayan ketiga terbesar Malaysia selepas Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perkayuan Malaysia (MTC), Datuk Yeo Heng Hau berkata, produk bernilai tambah seperti kayu kumai dan perabot mempunyai potensi yang baik dengan menyumbang RM170.4 juta daripada nilai eksport ke India pada 2013.

“MTC telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mempromosikan produk kayu Malaysia dalam pasaran India sejak tahun 2004," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pasaran pengguna India sedang mengalami perubahan besar ekoran pertambahan penduduk bagi kelas pertengahan dijangka berkembang kepada 41 peratus menjelang 2025.

“Apabila kelas pertengahan bertambah, permintaan untuk perumahan juga akan bertambah dan ini merupakan petanda baik bagi produk kayu kayan kita," katanya.

Beliau berkata, MTC dari semasa ke semasa sentiasa menjalankan promosi bagi memper­kenal dan meningkatkan kesedaran mengenai kayu-kayan dan produk kayu Malaysia termasuk perabot di India.

Antaranya, penyertaan MTC pada Indiawood 2014 di Bangalore, India pada 24 hingga 25 Februari lalu. Pameran perdagangan terbesar itu menghimpunkan pelbagai syarikat dan agensi yang turut menawarkan pelbagai teknologi terkini dalam industri kayu.

Pada pameran itu, katanya, MTC bersama tiga syarikat Malaysia iaitu Euraya Sdn. Bhd., Desa KL Enterprise Sdn. Bhd. dan I Maskayu Industries (M) Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar pintu-pintu kayu dan bingkai pintu menerima pesanan berjumlah RM1.2 juta.

0 comments:

share2