Kuantan – Penduduk Kampung Pandan 2 di sini merayu pihak berkuasa agar jejantas yang sering digunakan selama ini diubah suai bagi mudahkan pergerakan mereka terutamanya penunggang motosikal dan basikal.
Ketua Kampung, Abdul Radzi Ahmad berkata, keadaan jejantas yang dibina tidak menepati kehendak penduduk, menyebabkan kebayakan penduduk lebih senang melintas jalan merentangi laluan empat hala Jalan Pintasan Kuantan.
Menurutnya, keadaan jejantas yang dibina curam dan bertangga menyebabkan penunggang motosikal dan basikal tidak selesa menggunakan sehingga ada yang mengambil jalan mudah, melintas laluan empat hala tersebut.
“Ruang penunggang motosikal sempit serta curam, menyebabkan mereka rasa tidak selamat menggunakannya.
“Selain itu, sudah banyak kemalangan kecil berlaku, tidak termasuk kemalangan yang lebih parah apabila mereka melintas laluan empat hala.
“Saya berpendapat agar curam jejantas ini dibina lebih landai seperti mana kehendak penduduk di sini,” katanya.
Abdul Radzi berkata, jejantas itu banyak digunakan pelajar yang bermotosikal untuk ke sekolah berdekatan.
Di samping itu, penduduk turut menggunakan jejantas sebagai laluan alternatif lebih dekat untuk lokasi berhampiran.
“Jika jejantas ini diubah suai, saya yakin, risiko kemalangan juga kurang dan penduduk rasa lebih selamat menggunakan jejantas seperti kehendak mereka.
“Sebelum ini saya juga pernah kemukakan permohonan dalam beberapa mesyuarat di peringkat daerah, tetapi masih belum ada pihak yang tampil untuk selesaikannya” katanya.
0 comments:
Post a Comment