Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 3, 2014

BILA ANWAR TERPAKSA MEMILIH




Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan menjadi calon dalam pelan Langkah Kajang, kini Anwar terpaksa membuat pilihan dalam 'Langkah Khalid' pula.

Pilihan yang perlu dibuat ialah memilih antara Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sehingga kini, Anwar masih tidak memberi bayangan yang jelas bahawa beliau berada di sebelah siapa.

Ketika Langkah Kajang diumumkan, ramai pemimpin PKR dan AMK berpusu-pusu membuat kenyataan media menyokong tindakan tersebut.

Bahkan ada yang terus melonjak menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menggantikan Khalid sebagai MB Selangor sejurus selepas memenangi PRK Kajang.

Sebaliknya, suasana sunyi-sepi sahaja yang dapat diperhatikan pada Langkah Khalid ketika Khalid mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR untuk melawan Azmin.

Tiada yang berpusu-pusu mengeluarkan kenyataan untuk menyokong tindakan Khalid.

Yang terjumpa hanyalah kenyataan Wan Azizah yang menyeru ahli diberi pilihan untuk memilih antara Khalid dan Azmin.

Reaksi sebegini sudah cukup untuk memberikan petanda bahawa ramai di dalam PKR merasakan Langkah Khalid bukan sebahagian daripada pelan Langkah Kajang yang difahami mereka.

Sejak diumumkan menjadi calon di PRK Kajang sehingga kini, Anwar berdepan dengan sekurang-kurangnya empat insiden untuk menunjukkan pendirian sebenar beliau – sama ada beliau menyokong Khalid ataupun Azmin.

Insiden pertama ialah pelantikan pengarah pilihan raya PKR untuk PRK Kajang.

Lumrahnya, Azmin, sebagai timbalan presiden parti yang juga biasanya pengarah pilihan raya PKR akan diberi amanah memikul tanggungjawab ini.

Tetapi, di PRK Kajang, Anwar berkata, Khalid sendiri yang menawarkan diri untuk mengambil tanggungjawab tersebut. Oleh itu, tanggungjawab itu diberikan kepada Khalid.

"Tidak pernah selama saya kenal beliau minta jawatan tetapi kali ini itulah yang beliau minta," kata Anwar.

Meskipun tahu Azmin terkilan kerana baru kehilangan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah PKNS ketika itu, Anwar secara ironinya tetap memilih Khalid, meskipun PRK Kajang adalah untuk membuka laluan untuk beliau menggantikan Khalid sebagai MB.

Insiden kedua ialah ketika tercetusnya kontroversi pemberhentian staf kontrak PKNS dalam masa 24 jam.

Dalam insiden ini, Azmin menyelar tindakan Khalid sebagai tidak berperikemanusiaan dan membela mereka yang diberhentikan.

Azmin mendakwa Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata politik bagi melawan musuh politiknya.

Dakwaan Azmin secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa beliaulah musuh yang dimaksudkan.

Khalid tidak mempedulikan kritikan Azmin. Beliau sekadar menggunakan hujah bisnesnya untuk mempertahankan tindakan pemberhentian tersebut.

Dan ini dipersetujui Anwar yang berkata bahawa pemberhentian staf kontrak PKNS hanyalah sekadar isu pentadbiran bukan politik.

Kata-kata Anwar sekali gus menafikan dakwaan Azmin bahawa Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata politik.

Khalid menjelaskan perjanjian tersebut.

Anwar berkata beliau tidak dimaklumkan. Namun, beliau tidak mengkritik Khalid, hanya sekadar menyatakan perjanjian itu akan dipinda jika merugikan rakyat negeri Selangor.

Untuk tiga insiden di atas, perlu direnungkan apakah Azmin akan berdiam setakat menyelar Khalid sahaja jika tiada PRK Kajang?

Apakah Anwar akan memberikan jawapan yang sama jika beliau tidak perlu bertanding di PRK Kajang?

Semuanya tidak jelas walaupun kelihatan Anwar seperti berpihak pada Khalid dalam tiga insiden di atas. Tapi tidak apa, ada insiden keempat.

Dan ini dijangka akan dapat memaksa Anwar menunjukkan pendirian sebenarnya.

Insiden keempat yang dimaksudkan ialah pengumuman hasrat Khalid untuk bertembung dengan Azmin di kerusi timbalan presiden PKR.

Langkah Khalid ini amat getir untuk Anwar menyatakan pendirian.

Jika beliau dilihat tidak menyokong usaha Khalid, ia akan membawa maksud Anwar tidak mempercayai Khalid untuk meneruskan kerjanya sebagai MB Selangor. Ini bertentangan dengan persepsi baik rakyat dan kata-kata pujian Anwar terhadap Khalid sebelum ini.

Jika berlaku sedemikian, ini bermaksud beliau akan bertembung dengan Khalid, dan jawatan MB Selangor akan semakin jauh daripada tangannya kerana Khalid tidak akan melepaskannya.

Jika dibiarkan Khalid tewas di tangan Azmin di kerusi timbalan presiden, Anwar terpaksa berdepan dengan pandangan serong rakyat terhadap PKR yang sanggup menolak Khalid, seorang MB yang disukai rakyat.

Pada masa itu, kedudukan Khalid pada kerusi MB Selangor dipercayai akan bertambah kuat dengan simpati rakyat dan sokongan rakan Pakatan Rakyat yang kebanyakannya lebih menyukai Khalid daripada Azmin.

Mungkin antara sebabnya ialah di bawah Khalid, Azmin tidak berpengaruh di dalam pentadbiran Selangor, manakala di bawah Anwar, mereka bimbang kuasa Azmin dijangka akan dipulih malah melebihi apa yang ada terdahulu.

Sebaliknya jika Anwar dilihat menyebelahi Khalid, beliau dijangka berdepan dengan perpecahan dalaman PKR yang bermusuh dengan Khalid.

Dan golongan ini mungkin akan berpecah daripada PKR sekiranya Azmin hilang kedudukan di dalam PKR, perkara yang ingin dielakkan pada asasnya di dalam pelan Langkah Kajang.

Jika Khalid tetap tewas di tangan Azmin walaupun Anwar dilihat menyebelahi Khalid, maka masa depan PKR akan terencat dengan persaingan dalaman di antara Anwar dan Azmin, dan Khalid yang akan terus kekal sebagai MB Selangor.

Kalau Khalid memenangi jawatan timbalan presiden PKR dengan sokongan Anwar, maka PKR akan hilang alasan untuk menggantikan Khalid dengan Anwar di kerusi MB Selangor.

Ini kerana kemenangan beliau akan dianggap sebagai pengiktirafan ahli PKR terhadap kehebatannya sebagai MB Selangor.

Apa pun, Langkah Khalid ini tidak mendatangkan sebarang bahaya untuk Khalid, walaupun ia secara tidak langsung meletakkan Anwar di persimpangan yang amat menyukarkan beliau membuat pilihan.

Melihat scenario yang cukup memeningkan kepala di atas, jangan terkejut jika Anwar menyeru arkitek Langkah Kajang, Rafizi Ramli untuk bertanding di kerusi Timbalan Presiden PKR sebagai jalan keluar untuk mengelakkan perpecahan dalaman PKR.

Di dalam politik, segala kemungkinan boleh berlaku.

0 comments:

share2