Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 25, 2014

PAHANG YAKIN TARIK PELANCONG SINGAPURA




SINGAPURA - Kerajaan negeri Pahang optimis jumlah kedatangan pelancong Singapura ke negeri itu kembali meningkat tahun ini setelah menurun sedikit pada 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata pihaknya menyasarkan 1.2 juta pelancong negara itu berkunjung ke Pahang, iaitu jumlah sama dicatatkan pada 2012 iaitu 1.23 juta orang.

Katanya jumlah pelancong Singapura ke Pahang menurun 28.65 peratus atau 881,757 orang pada tahun lepas berbanding 2012 disebabkan beberapa situasi yang tidak dapat dielakkan.

"Pada tahun lepas kita mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 di seluruh negara, jadi ia sedikit sebanyak menjejaskan kedatangan pelancong ke Pahang.

"Beberapa lokasi pelancongan yang mengalami kemerosotan kedatangan pelancong contohnya Genting Highlands pula disebabkan kerja-kerja penambahbaikan sedang dilakukan di kawasan itu, oleh itu kawasan rekreasi luar ditutup kepada orang ramai sejak tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Sharkar mengetuai lawatan kerja tiga hari bagi mempromosi produk pelancongan Pahang kepada warga republik itu. Ia turut disertai Pejabat Pelancongan Negeri Pahang bersama agensi pelancongan dan wakil pengusahahotel di Pahang.

Katanya sasaran 1.2 juta pelancong Singapura itu boleh dicapai berdasarkan penganjuran beberapa program besar dan tahunan yang disusun sepanjang tahun ini.

Beliau berkata antara program yang akan menjadi tumpuan ialah Festival Muzik Antarabangsa Kuantan pada April depan yang diadakan buat pertama kalinya di Cherating.

Katanya festival yang bakal menampilkan ramai artis dari dalam dan luar negara itu akan mendedahkan kepada pelancong keunikan budaya dan muzik tradisional tempatan, seterusnya memberi peluang kepada pelancong mengenali lebih dekat nilai hidup setempat.

Beliau berkata 'Program Mengenal Burung' di Bukit Fraser pada Jun ini dan disusuli program 'Royal Billfish Challenge' di Rompin pada Ogos sememangnya diakui program paling mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negara. 

1 comments:

  • Anonymous says:
    February 25, 2014 at 10:16 AM

    Kata nak bangunkan kawasan titik tengah semenanjung, apa dah jadi? bajet abis kat tmpt lain ke?

share2