Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 17, 2014

PEMBUNUH TIGA BERADIK DITAHAN


ALOR SETAR - Setelah lebih sebulan tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Langgar dekat sini ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kejam, polis akhirnya berjaya menahan dua remaja lelaki semalam yang disyaki suspek utama kes pembunuhan tersebut.

Difahamkan kedua-dua suspek yang berusia 19 tahun itu ditahan polis antara pukul 5.30 petang hingga 11 malam di rumah masing-masing di Jalan Datuk Kumbar di sini.

Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai kenalan kepada mangsa berumur 14 tahun dan merupakan orang terakhir yang ditemui oleh mangsa sebelum mereka ditemui mati.

Polis dipercayai telah menemui bukti bahawa tiga beradik itu telah dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah rumah kosong di Kampung Gelam di sini dan cuba merogol mangsa berumur 14 tahun namun gagal.

Kedua-dua suspek dipercayai membawa ketiga-tiga beradik itu ke kawasan sawah padi di Alor Senibong dan sekali lagi cuba merogol mangsa namun mangsa cuba melarikan diri dan tindakan itu menyebabkan suspek membunuh mangsa.

Dua adik mangsa yang berumur 12 dan tiga tahun yang menyaksikan kejadian itu disyaki ditolak oleh suspek ke dalam sungai dan dibiarkan mati lemas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya ketika ditemui mengesahkan penahanan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut dan kedua-dua suspek ditahan reman mulai hari ini sehingga 22 Januari.

“Kedua-dua suspek dipercayai rakan sekampung serta saling mengenali dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami masih belum boleh dedahkan siasatan lanjut mengenai kes ini dan tangkapan ini merupakan hasil maklumat dan kerjasama daripada orang awam," jelasnya.


Dalam kejadian 30 November tahun lepas, mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong pukul 3.45 petang selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3.

Lebih menyayat hati mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang keesokan harinya dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

0 comments:

share2