Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 10, 2014

KDN JANGAN BACUL - URUSKAN PATI DENGAN TEGAS


ISU-ISU melibatkan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) tiada kesudahannya. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi di bawahnya seolah-olah hilang punca dalam menanganinya.

Jumlah pekerja asing yang berdaftar di Malaysia sehingga kini 2.3 juta orang. Bilangan PATI pula dianggarkan menyamai atau lebih ramai itu. Ini kerana berdasarkan data Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) berakhir 31 Ogos 2011, lebih 1.3 juta orang mendaftar.

Dipercayai sejumlah yang sama atau jauh lebih ramai berada di negara ini tanpa sebarang dokumen. Mereka memasuki negara ini secara haram atau tinggal melebihi tempoh diizinkan terutama yang awalnya datang menggunakan visa pelancong 30 hari.

Sejak hampir tiga dekad lalu, Malaysia membelanjakan berbilion ringgit untuk menangani masalah PATI yang tidak pernah berkurangan jumlahnya, tetapi terus meningkat.

Buktinya, walaupun pelbagai program diadakan dalam tempoh 20 atau 30 tahun lalu khususnya pemutihan dan pengampunan, masih terdapat lebih 1.3 juta orang PATI yang mendaftar Program 6P, tiga tahun lalu. Itu hanya yang sukarela mendaftarkan diri. Bagaimana pula dengan mereka yang enggan mendaftar kerana lebih selesa dengan status sebagai PATI?

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pihaknya akan melancarkan operasi besar-besaran memburu PATI selepas tamatnya Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) tamat 20 Januari ini.

Dalam isu pekerja asing dan PATI ini, sejak sekian lama, pengumuman 'melancarkan operasi besar-besaran', 'melipatgandakan operasi', 'memberi amaran keras', 'akan memburu PATI' dan 'meningkatkan penguatkuasaan' sudah sebati dan sinonim dengan KDN serta agensi di bawahnya.

Namun sejauh mana pengumuman itu benar-benar dilaksanakan. Setakat mana kemampuan Jabatan Imigresen, polis dan Rela memikul tanggungjawab 'besar-besaran' itu, adakah mereka cukup penguat kuasa berbanding bilangan PATI melibatkan jutaan orang?

Bukankah bermula 1 September tahun lalu, KDN juga mengumumkan melancarkan 'operasi besar-besaran'. Ia dikenali Ops 6P Bersepadu. Tetapi sejauh manakah keberkesanannya? Bukankah 'operasi besar-besaran' itu gagal atau tidak mencapai matlamat asalnya membersihkan bumi Malaysia ini daripada kewujudan PATI.

Difahamkan, sepanjang Ops 6P Bersepadu itu, beberapa masalah dihadapi iaitu kekurangan pegawai penguat kuasa, kebocoran maklumat operasi dan juga tidak kurang penting ketidakupayaan pihak penjara dan depot-depot menampung tahanan imigresen ini.

Langkah KDN mewajibkan semua pekerja memiliki i-Kad dilengkapi ciri-ciri keselamatan selewat-lewatnya akhir tahun ini, memang langkah proaktif dan dialu-alukan. Ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi seperti biometrik cap jari, Nexcode dan contactless chip pada i-Kad pasti memusatkan informasi keseluruhan pekerja asing yang sah di negara ini.

Bagaimanapun, itu hanya berkisar tentang pengurusan maklumat 2.3 juta pekerja asing yang sememangnya sah atau berdaftar. Apa pula halnya dengan semua PATI yang terus tinggal di negara ini? Kebanyakannya sangat licik, mereka bijak menghidu 'operasi besar-besaran'.

Kebanyakan PATI adalah dari Indonesia. Mereka selesa bekerja tanpa izin kerana 'bebas keluar masuk' negara ini melalui jalan laut dan pantai-pantai yang kawalannya mungkin tidak begitu ketat manakala 'operasi besar-besaran' pula sekadar bermusim.

Sedangkan, menguruskan 1.3 juta PATI yang telah mendaftar Program 6P pada 2011 adalah isu yang masih tidak selesai sepenuhnya. Matlamat pemutihan gagal kerana birokrasi di pihak negara asal PATI.

Difahamkan pihak pihak kedutaan negara asal terutama dari Indonesia gagal mengeluarkan dokumen pengenalan kepada keseluruhan PATI yang mendaftar di bawah Program 6P.

Akibatnya, PATI yang sukarela menjalani pemutihan terus jadi 'hitam'. Mereka masih bekerja secara haram tanpa pas kebenaran pekerja berpunca ketiadaan dokumen pengenalan.

Kenapa isu PATI tidak sudah-sudah? Jawapan yang dipersetujui banyak pihak adalah kerana KDN tidak bertindak berani, tegas dan berterusan ke atas majikan-majikan yang menggajikan PATI atau melancarkan 'operasi besar-besaran' ke atas mereka.

Sebaliknya, agensi KDN hanya menumpukan kepada 'operasi besar-besaran' terhadap PATI itu sendiri. Bukankah kalau tiada langsung peluang bekerja tanpa izin, bakal PATI pun tidak akan bermati-matian dan berduyun-duyun menceroboh negara ini. Bukankah dengan menangkap lebih ramai PATI akan meningkatkan lagi beban yang ditanggung kerajaan.

Kesimpulannya, KDN jangan terus dicap sebagai 'kementerian amaran' atau 'kementerian operasi besar-besaran' sedangkan impaknya sangat kecil. Jangan biarkan rakyat tempatan menjadi semakin muak menanggapi isu PATI ini.

0 comments:

share2