Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 15, 2014

KAZIM ELIAS JAWAP ISU KALIMAH ALLAH


PUTRAJAYA - Pendakwah bebas, Muhammad Kazim Elias membidas pihak yang membenarkan penggunaan Allah dalam kalangan bukan beragama Islam dengan berhujah golongan terdahulu pernah mengunakan kalimah suci itu sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Beliau menyangkal keterangan itu dengan menegaskan bahawa selepas kerasulan Nabi Muhammad, baginda mentafsirkan kalimah Allah seperti mana maksud di dalam surah al-Ikhlas iaitu Allah tempat manusia bergantung, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Jelasnya, penggunaan kalimah Allah sebelum kerasulan Nabi Muhammad amat bertentangan dengan syariat Islam apabila mereka menggunakannya dalam konteks yang salah serta menyeleweng.

''Tidak dinafikan sebelum Nabi Muhammad dibangkitkan menjadi rasul, orang Arab Jahiliah menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan tetapi dalam konteks Allah yang mempunyai anak, mempunyai isteri dan menjelma di muka bumi.

''Namun begitu, selepas dilantik menjadi rasul, baginda mengajar umat dengan kalimah tauhid yang menyatakan Allah itu tunggal, Allah itu Esa seperti dijelaskan dalam wahyu," katanya ketika menyampaikan ceramah khas dalam sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini hari ini.

Ceramah bertajuk 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' berlangsung selama 20 minit itu berjaya menarik perhatian hadirin termasuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta tetamu kenamaan.

Muhammad Kazim atau jolokan Ustaz Kazim menyampaikan ceramah tersebut secara bersahaja dan diselangi jenaka tetapi sarat dengan pengajaran.

Muhammad Kazim berkata, hujah yang digunakan oleh golongan berkenaan perlu diperbetulkan kerana boleh mengelirukan umat Islam dan generasi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau sempat mencuit hati termasuk tetamu kehormat apabila menceritakan kisah bagaimana seorang bapa yang sepatutnya mengazankan bayinya tetapi tiba-tiba membaca takbir raya kerana tidak mempunyai asas ilmu agama.

Sementara itu, pengasas Pusat Pendidikan al-Barakah itu berkata, kecintaan kepada Rasulullah tidak seharusnya bermusim atau sekadar berselawat tetapi perlu meliputi ketaatan terhadap suruhan Allah, diikuti sunnah baginda, selain taat kepada pemimpin.

"Rasulullah seorang manusia agung apabila nama baginda disebut-sebut di dalam al-Quran dan azan serta iqamah yang kita dengar sebanyak lima kali setiap hari berbanding kita yang hanya sekadar insan biasa.

"Sehubungan itu, jika timbul pertikaian dalam masalah atau dalam apa benda sekalipun hendaklah kamu merujuk kepada Allah dan rasul-Nya, demikian cara paling terbaik dalam kehidupan manusia," ujarnya.

1 comments:

  • Anonymous says:
    January 15, 2014 at 10:21 AM

    Org otak liberal, hujah la mcm mane sekali pun, same je, mantul.
    Sama sahaja bg mrk kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan.

share2