Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 31, 2013

RASIONALISASI SUBSIDI DIPERTIMBANG SEMULA


KUANTAN: Kerajaan akan melihat semula keputusan merasionalisisasikan subsidi supaya ia benar-benar dapat meringankan bebanan kumpulan sasaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata subsidi kerajaan perlu dilihat secara lebih holistik, dalam usaha meringankan bebanan rakyat terutamanya kumpulan sasar. 

(Langkah) Lihat semula beberapa keputusan yang kita (kerajaan) buat untuk merasionalisasi subsidi itu (supaya) dapat meringankan beban kumpulan sasar. 

"Kita (kerajaan) rasionalisasi subsidi supaya subsidi itu tidak digunakan oleh pihak yang tidak berapa layak, mereka yang menanggung beban kerana pendapatan kecil perlu dapat bantuan besar dengan cara menjimatkan subsidi tetapi pengurangan subsidi dapat menampung keperluan kumpulan sasar," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan sekolah sumbangan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Kos Sara Hidup, beliau akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini dengan menteri, timbalan menteri dan agensi berkaitan termasuk pembekal utiliti elektrik, air dan pihak berkuasa tempatan bagi membincangkan perkara itu.

"(Mesyuarat itu) Supaya boleh melihat secara holistik dan keseluruhan dan bagaimana langkah seterusnya boleh diambil oleh kerajaan, institusi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan persatuan.

"Tujuan kita kalau tempoh mendatang kita tidak dapat elakkan mungkin tempoh sederhana dan panjang dapat kurangkan bebanan. Ini dibuat kerana kerajaan prihatin tentang masalah rakyat dan tidak mahu bebanan rakyat bertambah dengan sebab pihak melakukan kenaikan kadar yang boleh timbulkan masalah," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sedar akan isu kenaikan sara hidup ketika ini dan akan melakukan yang terbaik dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Kos Sara Hidup, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (bagi) melihat kepada situasi terkini dan akan mendapatkan maklum balas lebih terperinci selain keputusan dibuat untuk mengkaji semula kadar tertentu dan kos yang perlu ditanggung pengguna yang dikenakan sektor awam atau institusi kerajaan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah diarahkan supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap para peniaga yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya. - BERNAMA.

0 comments:

share2