Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 18, 2013

KERAJAAN SUDAH RANCANG PEMBANGUNAN LANCHANG


TEMERLOH – Kerajaan telah lama berhasrat memajukan Lanchang, di sini dengan menggantikan deretan rumah kedai usang sedia ada dengan bangunan baru lebih tersusun.

Adun Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, perancangan itu dikemukakan sejak 15 tahun lalu tetapi masih belum melaksanakannya kerana kawasan tersebut didiami penduduk.

Bagaimanapun katanya, keadaan semasa sangat mendesak supaya Lanchang dibangunkan berikutan berpotensi menjadi kawasan eko pelancongan.

“Saya mengalu-alukan cadangan penduduk yang mahukan Lanchang berwajah baru kerana sejak lebih 50 tahun kawasan ini tidak berubah sedangkan kawasan lain seperti Triang, Kerayong di Bera dan Karak, Bentong sudah jauh berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian semalam berhubung isu Lanchang perlu berubah wajah.

Dalam laporan tersebut, penduduk menggesa pihak berkaitan membangunkan pekan Lanchang menjadi bandar baru yang lebih tersusun.

Mohd Sharkar berkata, kawasan yang dirancang pembangunan di Lanchang itu sebahagiannya tanah hak milik manakala sebahagian lagi tanah diduduki atas lesen pendudukan sementara (TOL).

Menurutnya, kerajaan juga merancang melebarkan jalan di kawasan itu yang pesat membangun khususnya dari sektor pelancongan.

Beliau berkata, bagi melaksanakannya, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mengeluarkan notis kepada penduduk di kawasan itu untuk mengosongkan bangunan tersebut bagi membangunkannya.

“Notis ini perlu dalam tempoh bersesuaian supaya pemilik tanah yang tinggal di situ mempunyai masa untuk mencari penempatan baru.

“Penduduk dirayu bekerjasama membangunkan Lanchang memandangkan saya menerima tekanan daripada masyarakat dan agensi serta jabatan kerajaan yang mahu Lanchang dibangunkan,” katanya.

0 comments:

share2