Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 17, 2013

LANCHANG BERUBAH WAJAH


LANCHANG – Penduduk di sini menggesa pekan Lanchang diubah menjadi bandar baru yang lebih tersusun memandangkan keadaan sekarang yang tidak pernah berubah sejak lebih 50 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Indah/Kenangan Abd Syukur Abd Wahab berkata, pekan Lanchang yang ada sekarang mundur dan tidak terancang dengan deretan kedai lama menjadi pemandangan utama pintu masuk ke kampung sekitarnya.

Menurutnya, Lanchang dikenali sebagai kawasan pelancongan dengan adanya Deerland, Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) terbesar di Malaysia.

“Kawasan ini menerima kehadiran 200,000 pelancong setiap tahun dan dijangka bertambah apabila kerajaan membangunkan satu lagi tarikan baru iaitu Lembah Harimau.

“Sebab itu kami harap Datuk Mohd Sharkar (Adun Lanchang) supaya ambil tindakan yang perlu untuk membangunkan bandar baru Lanchang,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu seorang penduduk Megat Rabuan 62, berkata, sejak dia kecil lagi hingga sekarang Lanchang tidak banyak berubah khususnya deretan kedai lama di situ.

Menurutnya, memang ada perubahan dari segi pembangunan tanah pertanian dan adanya kawasan pelancongan di Kuala Gandah tetapi pintu masuk utamanya tidak pernah berubah.

“Inilah pekan Lanchang yang ada sejak saya kecil hinggalah sekarang, tidak ada perubahan terutama di kawasan kedai lama di sini, bangunan kayu ini adalah yang asal sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Temerloh Khairul Zaidi Daud berkata, kerajaan perlu memikiran pembangunan yang bersesuaian untuk membina sebuah bandar Lanchang yang lebih tersusun.

Menurutnya, deretan kedai lama ini perlu diganti dengan bangunan baru supaya kawasan ini lebih ceria terutama pada sebelah malam.

“Kami juga harap Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mencari kaedah untuk menceriakan Lanchang dengan tambahan landskap dan sebagainya,” katanya.

1 comments:

  • Anonymous says:
    December 17, 2013 at 5:39 PM

    biasalah, daerah Temerloh sentiasa dipinggirkan.. Tumpuan lebih kepada Kuantan dan Pekan sahaja. ECER pun takder projek besar yang dibawa ke Temerloh.. Temerloh titik tengah semenanjung,patut diberi lebih fokus. Perancangan menjadikan Temerloh pelabuhan darat utama hanya tinggal impian sahaja..

share2