Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 18, 2013

PERSIAPAN HADAPI BANJIR


KUANTAN - Sebanyak RM26 juta daripada RM40 juta yang diperuntukkan Kerajaan Pahang telah dibelanjakan bagi kerja-kerja penambahbaikan dan persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail berkata, kerja tersebut telah dilaksanakan di kawasan pesisir pantai tiga daerah seperti Rompin, Pekan dan Kuantan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di daerah terbabit.

Tambahnya, kerja-kerja mendalam Sungai Galing dan beberapa sungai lain di negeri ini telah dilakukan bagi mengelak tragedi berulang seperti mana berlaku pada tahun lalu.

"Langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan 30 peratus masalah banjir di negeri ini.

"Kta juga menggunakan sistem siren amaran banjir bagi kawasan penempatan berhampiran sungai supaya mereka boleh bertindak awal jika air sungai terbabit naik melebihi paras bahaya," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat akan digerakkan lebih awal jika banjir berlaku di kawasan terbabit bagi memindahkan mangsa terbabit ke penempatan sementara yang telah disediakan.

"Tumpuan juga akan turut diberikan di kawasan pedalaman dan Pulau Tioman kerana kita sentiasa mengambil langkah keselamatan setiap kali tiba musim tengkujuh yang sering berlaku pada akhir setiap tahun," ujarnya.

Dalam pada itu beliau meminta penduduk supaya tidak bimbang dengan wabak kencing tikus pada musim tengkujuh ini kerana kes tersebut adalah kecil.

"Cuma saya ingin menasihatkan supaya berwaspada dengan penyakit taun dan malaria kerana sering dilaporkan berlaku apabila tiba musim banjir," ujarnya.

0 comments:

share2