Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 14, 2013

PENEROKAAN HARAM SUKAR DIKAWAL


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel mengakui aktiviti penerokaan tanah secara haram bagi membina rumah di lereng-lereng bukit di kawasan tanah tinggi itu, sudah tidak mampu dikawal lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands menjelaskan, sudah tiada cara untuk mengawal aktiviti tersebut, begitu juga pembinaan rumah haram di tebing-tebing sungai.

Menurutnya, kegiatan itu jelas mengundang bahaya kepada penduduk terbabit kerana mereka terdedah dengan ancaman tanah runtuh atau banjir besar seperti yang berlaku di Lembah Bertam, Ringlet dekat sini baru-baru ini.

"Cameron Highlands sudah menjadi tempat yang kita tidak boleh kawal penerokaan tanah secara haram.

"Walaupun saya ahli Parlimen di sini, saya tidak boleh meluangkan sepanjang masa di sini untuk memastikan tiada penduduk yang membina penempatan haram terutama di lereng-lereng bukit dan saya tidak tahu bagaimana untuk mengawal penerokaan tanah secara haram di sini," katanya ketika melawat kawasan tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, lima orang sekawan termasuk pemilik sebuah bengkel membaiki kereta nyaris maut selepas tebing sebuah bukit bersebelahan tiba-tiba runtuh dan menimpa bengkel tersebut.

Tiga orang daripada mereka sempat menyelamatkan diri manakala dua orang lagi terperangkap di dalam bengkel tersebut namun berjaya dikeluarkan sejam kemudian.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan sebahagian tebing bukit itu runtuh.

Kira-kira dua minggu lalu, empat orang maut dalam tragedi banjir besar di Lembah Bertam dekat sini.

Bagi mengelak kejadian buruk, Palanivel berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kerajaan negeri Pahang, Pejabat Tanah dan Majlis Daerah Cameron Highlands bagi menempatkan semula penduduk yang tinggal di lereng-lereng bukit dan di tebing sungai.

Menurutnya, penduduk terbabit termasuk pengusaha bengkel membaiki kereta perlu diberikan satu tapak baharu yang lebih selamat.

"Ini merupakan satu masalah yang perlu dikawal dan kita juga perlu mencari lokasi baharu yang selamat untuk mereka yang tinggal di tepi sungai," katanya.

Sementara itu, kata beliau, walaupun kerajaan tidak menggalakkan pembinaan kediaman di lereng bukit, itu tidak bermakna kerajaan akan menyekat pembangunan di kawasan Cameron Highlands.

"Bagi pembinaan rumah di kawasan lembah, itu tiada masalah tetapi tidak di lereng-lereng bukit.

"Lagipun kawasan seperti Cameron Highlands tidak memerlukan kediaman seperti pangsapuri yang banyak kerana penduduknya tidak ramai, lebih kurang 50,000 orang," kata beliau.

2 comments:

  • Unknown says:
    November 15, 2013 at 12:27 AM

    tidorr....

  • Unknown says:
    November 15, 2013 at 12:27 AM

    tidorrr...

share2