Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 1, 2013

AHLI PARLIMEN PAS MOHON MAAF FITNAH DS NAJIB

KUALA LUMPUR - Seorang wakil rakyat pembangkang hari ini memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memfitnah Perdana Menteri berkaitan Operasi Lalang pada 1987.

Mohamed Hanipa Maidin (Pas-Sepang) juga menarik balik kenyataannya menuduh Najib (BN-Pekan) yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO, mahu menitiskan darah orang Cina dengan keris ketika mencelah semasa perbahasan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober lalu.

Permohonan maaf dan tindakan Mohamed Hanipa menarik balik kenyataan tersebut menyelamatkan wakil rakyat pembangkang itu yang juga seorang peguam daripada dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (6).

"Saya akui memang mengeluarkan kenyataan tersebut pada 23 Oktober lalu dan ia terkandung dalam hansard Parlimen. Saya tarik balik dan mohon maaf kepada Pekan jika itu dapat menyenangkan hati pihak-pihak lain.

"Saya minta maaf dan saya tarik balik kenyataan tersebut," katanya ketika diberi peluang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memberi penjelasan kerana tuduhan liar itu mempunyai prima facie.

Pandikar Amin yang menegur perbuatan Mohamed Hanipa berkata, sebagai peguam sepatutnya wakil rakyat Pas itu lebih bertanggungjawab mengenai fakta yang dikemukakan kerana imuniti wakil rakyat bukan tiket untuk bercakap apa sahaja.

"Jadikan ini sebagai iktibar kepada semua Yang Berhormat. Lain kali kalau berhujah ingat risiko. Sebagai Speaker saya menerima permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan oleh Sepang dan menganggap isu ini selesai," jelasnya.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dapat membendung kemarahan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) antaranya Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) apabila berkata: "Inilah (Sepang) putar belit. Ini di Dewan Rakyat, dalam mahkamah pun inilah kerjanya."

Terdahulu, Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengemukakan usul bertulis kepada Dewan Rakyat meminta Mohamed Hanipa dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana memfitnah Perdana Menteri dengan suatu tuduhan jahat.

Menurut Ahmad, kenyataan itu bukan sahaja menimbulkan fahaman jahat kepada Perdana Menteri, malah boleh mencetuskan huru-hara dalam negara sedangkan Najib tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.

Pada 23 Oktober lalu, Mohamed Hanipa dipetik sebagai berkata: "Ia (Operasi Lalang) bermula daripada MCA dan UMNO sendiri di mana Pekan yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO bercakap marilah kita titiskan darah Cina dengan keris."

0 comments:

share2