Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 14, 2013

KOMPLEKS SEKOLAH ST THOMAS BAKAL DIBINA


KUANTAN - Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas  dan Sekolah Menengah (SM) tidak disuraikan sebaliknya dipindahkan ke dua sekolah di bandar ini dengan mengekalkan guru serta pentadbirannya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan itu semalam dalam pertemuan bersama ibu bapa dan guru di sekolah berkenaan selepas mengambil kira semua aspek membabitkan pelajar.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad berkata, SK St Thomas akan berkongsi bangunan di SK Teruntum manakala SM St Thomas akan menumpang sementara di Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SABS), Jalan Beserah bermula 1 Januari 2014 selepas semua kelengkapan disediakan.

Menurutnya, keputusan itu juga diambil selepas mendapati beberapa perkara termasuk implikasi kewangan dan perundangan.

“Kita mengambil kira semua aspek termasuk dua pentadbiran berbeza dengan melaksanakan dua sesi persekolahan dengan semua kelengkapan yang diperlukan,” katanya selepas memberi penerangan kepada ibu bapa dan guru-guru dua sekolah terbabit, di sini, semalam.

Beliau berkata, KPM juga dalam cadangan membina satu kompleks sekolah untuk SK St Thomas dan SMK St Thomas tetapi perlu mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Mazlan dalam ucapannya sebelum itu berkata, keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan bersama termasuk pihak Gereja, kerajaan negeri dan KPM melalui mesyuarat sebelum ini.

“Sekolah berpindah namun wajah dan identitinya kekal. Nama dua sekolah itu tidak akan hilang dari Kuantan. Kita semua bersetuju kod sekolah  statusnya sebagai Sekolah Kluster dikekalkan,” katanya.

Bagaimanapun,  beliau mahu ibu bapa bertolak ansur dan menerima keputusan itu kerana usaha KPM kini menyelaraskan perkongsian bangunan bagi membolehkan tiada elemen dalam pelajaran terganggu.

“Ibu bapa yang sedar kepentingan pendidikan anak- anak mereka ini akan bersetuju dengan keputusan ini. Kita jangan lihat apa yang kita fikir tapi lihat generasi anak-anak kita,” katanya.

Pada 4 Oktober lalu, Badan Bertindak Selamatkan St Thomas berkumpul bagi menarik perhatian KPM mengenai isu itu.

Pada pertemuan itu mereka mencadangkan sekolah berkenaan tidak disuraikan dan memberi tempoh sehingga tiga hingga lima tahun bagi membolehkan sekolah baru dibina.

MB minta kerjasama ibu bapa

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri mengambil tahu perkara itu dari awal dan bersetuju dengan keputusan yang ditetapkan KPM.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membantu KPM membina sebuah kompleks sekolah St Thomas tetapi perlu mengambil masa.

“Saya sudah hubungi pentadbiran tanah daerah supaya mencari tanah sesuai untuk pembinaan kompleks sekolah. Kami bersedia walaupun harga tanah agak tinggi. Masalah sekarang di mana nak cari tanah dalam bandar,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu emosi kerana percaya ada yang lebih baik di sebalik masalah itu.

“Apa yang dipersetujui ialah St Thomas perlu kekal sebagai sekolah Kluster, Cemerlang dan berprestasi tinggi, sekolah ini akan jadi kilang untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang mendapat semua A.

“Geran tanah ini hak gereja. Kerajaan negeri sudah berusaha dan kita tidak mampu pertahankan. Sekarang kita berjaya kekalkan status sekolah, kekalkan pelajar dan cari tanah untuk sekolah,” katanya.

Beliau juga mencadangkan ibu bapa memberi maklumat mengenai tanah yang sesuai supaya dapat dipertimbangkan untuk pembinaan sekolah itu.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri mengadakan sesi pertemuan bersama pihak terbabit dan turut mengambil pendirian bersetuju dengan mengekalkan sekolah berkenaan.

0 comments:

share2