Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 2, 2013

JUALAN GBBS FAMA RM3.2 JUTA


BENTONG - Program Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negeri ini mencatatkan jualan sebanyak RM3.2 juta bagi tempoh antara Januari sehingga Julai tahun ini.

Pegawai Hal Ehwal Ekonomi FAMA negeri, Azman Kaman berkata, hasil jualan itu meliputi 43 gerai peserta usahawan tani yang mana 39 peserta berniaga menggunakan kanopi dan empat lagi gerai kekal.

Katanya, kewujudan GBBS bertujuan untuk mengatasi masalah lambakan buah-buahan supaya pemilik kebun dapat menjual sendiri hasil kebun mereka terus kepada pengguna.

''Selain itu, tujuan GBBS adalah untuk melatih para petani menjadi usahawan tani bagi mengelak mereka menjadi mangsa manipulasi orang tengah.

''FAMA negeri juga bercadang untuk memperluaskan lagi konsep GBBS bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dalam usaha untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," kata Azman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meraikan ketibaan 50 peserta Agrochallenge 2013 di GBBS FAMA, Sungai Merjuk di sini baru-baru ini.

Agrochallenge yang dianjurkan oleh Kelab Usahawan Tani (Kuat) dan Lembaga Pertubuhan Peladang bertujuan untuk mempromosikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013.

Sementara itu, Penolong Ketua Pegawai Daerah Bentong, Zaidi Yahaya yang turut hadir dalam majlis itu memberitahu, pihaknya kini sedang mengenal pasti tapak perniagaan buah-buahan yang lebih sesuai di Lebuh Raya Karak-Bentong.

Katanya, kawasan yang dikenal pasti ialah di Kilometer 72, lebuh raya itu dari arah Bentong ke Karak bertentangan dengan stesen minyak Petronas kerana di kawasan itu lebih selesa berikutan mempunyai tempat letak kereta yang lebih luas.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peniaga buah-buahan bermusim supaya tidak berniaga di sepanjang lebuh raya kerana boleh menyebabkan kemalangan, selain membahayakan nyawa peniaga itu sendiri.

''Majlis Perbandaran Bentong tidak boleh mengeluarkan lesen perniagaan sementara kerana tapak gerai di tepi lebuh raya tersebut sekarang ini tidak sesuai dan berbahaya kepada semua pengguna jalan raya," katanya.

0 comments:

share2